GEGARAN yang berlaku di Segamat, Johor baru-baru ini mungkin hanya beberapa saat, tetapi kesannya cukup mendalam kepada penduduk setempat.
Bagi mereka, pengalaman itu mengubah persepsi bahawa Malaysia ‘bebas’ daripada ancaman gempa bumi.
Bagi pemetik buah nanas, Mohamad Faiz Syazwan Misman, 30, gegaran yang berlaku awal pagi itu mencetuskan detik cemas yang sukar dilupakan.
Katanya, ketika kejadian dirinya sedang mandi sebelum merasakan dinding bilik air bergegar.
“Dalam satu ke dua saat saja gegaran itu berlaku, tapi cukup untuk buat jantung berdegup laju. Saya terus terdiam, cuba faham apa sebenarnya berlaku. Tak pernah rasa benda macam tu sebelum ini.
“Keluarga saya juga terkejut dan terus yang keluar rumah untuk memeriksa keadaan.
“Kami tertanya-tanya, ini gegaran biasa atau petanda bencana lain?,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Faiz mengakui insiden itu mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan rumah.
“Rumah kita bukan dibina dengan struktur tahan gempa. Bila gegaran berlaku, mula terfikir kalau datang yang lebih kuat, tahan ke rumah ni?,” katanya.
Tambahnya, dari aspek kesiapsiagaan, rakyat jelas belum bersedia.
“Kalau banjir, mungkin ada pelan dan pusat pemindahan. Tapi untuk gempa bumi? Tiada Standard Operasi Prosedur (SOP) rasmi, tiada latihan, tiada panduan jelas,” katanya.
Malah, Faiz kini mula mempertimbangkan insurans bencana sebagai langkah perlindungan bagi mengurangkan kerugian.
Faiz menekankan keperluan pelan kecemasan rasmi untuk gempa bumi dan sistem amaran awal yang lebih jelas dan jangan tunggu sehingga bencana besar berlaku, baru mahu mengambil tindakan.
Sementara itu, pemilik hotel kucing di Segamat, Ummu Imara Abu Yazid, 38, berkata, gegaran pada 24 Ogos lalu pada mulanya disangka dentuman guruh.
“Saya sedang buat rutin pagi seperti biasa, tiba-tiba dengar bunyi letupan kuat disusuli gegaran. Terkejut, tapi saya sangkakan guruh nak hujan. Ini merupakan kali pertama ia berlaku jadi memang tiada pengalaman,” katanya.
Ummu Imara hanya menyedari kejadian sebenar selepas melihat laporan di media sosial dan turut memikirkan struktur bangunan.
“Selepas baca di Facebook, barulah rasa terkejut dan takut. Setakat yang saya tahu, tiada bangunan di sini dibina ikut piawaian gempa. Bila rasa gegaran, terus terfikir keselamatan rumah saya sendiri,” ujarnya.
Ummu Imara berharap pihak berkuasa lebih proaktif memberi peringatan serta pemaju mula memikirkan struktur binaan lebih kukuh untuk projek baharu.
Dalam pada itu, seorang suri rumah, Siti Fadilah Ali, 40, berkata, terdapat beberapa gegaran susulan yang berlaku tetapi tidak semuanya dapat dirasai.
“Gegaran enam kali berlaku, tapi saya hanya merasai empat kali. Terfikir juga kenapa makin kerap? Adakah akan ada gegaran yang lebih besar?” katanya.
Dia berpedapat bahawa pengalaman ini wajar dijadikan langkah bermulanya tindakan yang lebih serius. – UTUSAN









