FTA ASEAN-Kanada dijangka lonjak KDNK Asia AS$6 bilion - Utusan Malaysia

FTA ASEAN-Kanada dijangka lonjak KDNK Asia AS$6 bilion

YASIR Naqvi berucap ketika sesi Perundingan Asean Economic Ministers (AEM) - Kanada sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) di sini semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemodelan ekonomi menunjukkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada (ACAFTA) dijangka melonjakkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kanada sebanyak AS$2.54 bilion (RM10.72 bilion), manakala KDNK Asia meningkat AS$6 bilion (RM25.33 bilion).

Setiausaha Parlimen kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Setiausaha Negara Kanada, Yasir Naqvi berkata, manfaat potensi itu jelas membuktikan kepentingan kerjasama dua hala.

“Dengan rundingan perjanjian yang disasarkan dimuktamadkan tahun depan, hubungan dagangan serta pelaburan dijangka berkembang pesat sekali gus menyokong agenda kepelbagaian perdagangan dan pertumbuhan ekonomi serantau.

“Apabila ACAFTA dimuktamadkan, ia akan memberi manfaat kepada Kanada dan negara anggota ASEAN dengan mengurangkan tarif, halangan bukan tarif, meningkatkan ketelusan, memberi kepastian kepada pedagang dan pelabur serta memperkukuh rantaian bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perundingan AEM-Kanada ke-14 sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Menurutnya, kerajaan baharu Kanada pimpinan Perdana Menteri, Mark Carney amat komited terhadap perkongsian strategik dengan ASEAN serta mengiktiraf kedudukan penting blok itu di rantau Indo-Pasifik.

Di peringkat domestik, kerajaan Kanada sedang melaksanakan pelaburan besar dalam infrastruktur untuk membolehkan kami mempelbagaikan hubungan komersial dengan rakan kongsi yang dipercayai di Indo-Pasifik.

“Ini terutamanya sebagai pembekal utama tenaga bersih dan gas asli cecair ultra-rendah karbon kepada rantau ini.

“Berteraskan perkongsian yang kukuh dengan ASEAN serta tindakan konkrit di dalam negara, kami berhasrat untuk memperluas hubungan ini dengan pantas bersama rakan-rakan ASEAN,” katanya.

Katanya, Perdana Menteri Kanada berhasrat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan sebagai tetamu Pengerusi sekali gus mengangkat kerjasama dua hala ke tahap lebih tinggi.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perjanjian FTA itu telah dipersetujui untuk berusaha menamatkannya pada akhir 2026.

“Pada masa sama, kita juga telah membincangkan perkembangan terkini berhubung semakan perjanjian itu dan kita berasa optimis bahawa kita dapat menyelesaikannya.

“Bagaimanapun, ini merupakan isu yang sukar. Oleh itu, kita meminta Kanada supaya lebih fleksibel dalam perbincangan. Mereka nampaknya lebih terbuka.

“Ini kerana kita, khususnya Malaysia dan tujuh negara lain dalam ASEAN, sudah mempunyai perjanjian perdagangan dengan Kanada melalui anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). Tetapi kita mahu sesuatu yang lebih inklusif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN