Ford Ranger Wildtrak 3.0 V6 turbo diesel

Ford Ranger Wildtrak 3.0 V6 turbo diesel: Siapa perlu trak diesel V6?

TRAK ini dijaul pada harga RM193,000.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia trak pikap, memang enjin diesel adalah pilihan utama dan walaupun jualan genre ini merudum selama beberapa bulan akibat pengurangan subsidi bahan api diesel, jualan kembali stabil kerana mahu atau tidak, tidak ada pengganti trak pikap di dalam pasaran.

Untuk mereka yang mahukan kenderaan lasak, trak pikap masih pilihan paling mampu dalam pasaran automotif negara. Kebanyakan kenderaan utiliti sukan (SUV) masih menggunakan kerangka ‘monocoque’ yang lebih sesuai untuk dibawa ke pasar dan SUV yang menggunakan platform ‘ladder frame’ dan kotak gear ‘lower transfer case’ seperti trak pikap, harganya lebih tinggi.

Cuma bagi mereka yang benar-benar mahukan trak pikap berkuasa, kita hanya ada Ford Ranger Raptor V6 Turbo Petrol dan dengan harga yang berada di atas paras RM260,000, ia lebih sesuai dijadikan trak gaya hidup.

Enjin petrol juga membuatkan ia tidak begitu efisien, penggunaan bahan api boleh mencecah 15 ke 18 liter untuk setiap kilometer (km), menjadikan perjalanan dengan setangki bahan api tidak melangkaui batasan 500 km.

Mungkin atas desakan permintaan yang mahukan sesuatu yang lebih praktikal tapi dengan daya kilas yang tinggi, Ford melancarkan varian terkini Ranger mereka dengan enjin 3.0L V6 turbo diesel.

Enjin tersebut menghasilkan 250 PS dan 600 Nm, menjadikan ia trak pikap paling berkuasa di dalam kategori diesel.

Transmisi kekal 10 kelajuan automatik, dengan ‘locking differential’ untuk gandar belakang dan enam mod pemanduan serta empat mod trenkuasa.

DIKUASAKAN dengan enjin 3.0L V6 turbo diesel.

Enam mod pemanduan tersebut adalah Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts dan Sand sementara mod trenkuasa adalah 2H, 4H, 4L dan 4A, pertama kali diperkenalkan untuk varian Wildtrak dengan enjin 3.0L V6.

Ranger ini juga dibekalkan dengan transmisi E-Shifter yang sebelum ini hanya ditawarkan untuk Ranger Platinum, Stormtrak dan Raptor.

E-Shifter bermaksud tombol gear itu tidak disambung secara fizikal ke kotak gear, tetapi melalui hantaran isyarat elektronik.

Antara kelebihan sistem elektronik ini adalah sistem gear boleh dikawal oleh Intelligent Park Assist dan juga dari segi keselamatan, gear akan ‘dikunci’ sekiranya kunci tidak dikesan berada di dalam kenderaan. 

Dari segi fungsi untuk tugasan harian, Ranger V6 ini mampu mengangkat beban seberat satu tan dan mempunyai had tunda (towing rate) sehingga 3.5 tan.

Sistem gantungan kekal sama (double wishbone di depan dan pegas daun di belakang) sementara sistem brek pula ialah cakera untuk keempat-empat roda.

Roda aloi dua tona 20 inci dibalut dengan tayar GoodYear Wrangler Territory HT bersaiz 255/55 R20, termasuk tayar gantian.

Lencana V6 tertera di kiri dan kanan fender sementara pelekat dengan logo V6 turut diberikan pada pintu hadapan, memastikan rakan-rakan dari kelab Ranger anda tahu, ini bukan Wildtrak biasa-biasa.

Bahagian kabin, skrin utama 12 inci dengan susun atur potret mempunyai fungsi Apple CarPlay dan Android Auto nirwayar serta pengecas nirwayar dan lima port USB.

Bahagian tempat duduk belakang turut dibekalkan dengan soket tiga-pin 230-volt/400 Watt – yang juga dipasang di bahagian kargo.

Untuk pemandu, skrin TFT berwarna bersaiz lapan inci dengan grafik dan animasi menarik disertakan.

RUANG kabin yang selesa.

Kedua-dua tempat duduk hadapan dikawal secara elektrik dan keseluruhan kabin mengekalkan ciri-ciri tradisional Wildtrak – balutan kulit dan fabrik hitam disulam dengan benang berwarna jingga.

Sistem keselamatan pasif termasuk sistem maklumat titik buta, amaran keluar lorong dengan bantuan kekal lorong, kawalan jelajah adaptif dengan fungsi henti dan jalan serta penstabil lorong, amaran trafik lintas belakang dan sistem brek pasca perlanggaran.

Wiltrak V6 ini ditawarkan dalam beberapa warna seperti kuning Luxe, kelabu Meteor, hitam Absolute dan putih Arctic.

Sempena kempen pelancaran, Ford memberikan pakej servis tambahan dua tahun.

Sesi uji pandu Utusan Malaysia kali ini membawa penulis hingga ke Tasik Kenyir, semata-mata untuk benar-benar menguji keselesaan pikap modern ini dan juga penggunaan bahan api.

Enjin V6 ini senyap tanpa bunyi bising seperti enjin diesel biasa dan dengan daya kilas yang mantap, ia adalah Ranger yang paling sedap dipandu.

Perjalanan sejauh lebih dari 1,400 km, mengharungi laluan lebuh raya, jalan persekutuan dan sedikit offroad terasa tidak cukup untuk memuaskan hati penulis kerana ia adalah sebuah kenderaan yang sangat selesa untuk pemanduan jauh.

Tempat duduk Eropah itu cukup untuk menampung berat dan bentuk badan, menjadikan kita lambat untuk terasa penat atau lenguh. Ia sama seperti tempat duduk dalam kenderaan-kenderaan continental yang lain, cuma bagi mereka yang terbiasa dengan tempat duduk kenderaan Asia, mereka tidak sedar bahawa reka bentuk tempat duduk sebegini sebenarnya lebih bagus.

Di atas lebuh raya dan jalan persekutuan, karakter Ranger yang disukai ramai kekal wujud. Ia stabil, tegap dan selesa – jauh lebih baik dari sebuah sedan dengan harga yang hampir sama.

Tidak seperti sedan, Ranger tidak mempunyai sebarang masalah untuk meredah laluan offroad atau melanda lubang-lubang dan tampalan tar kasar.

Daya kilas setinggi 600 Nm itu tidak masuk secara agresif dan cuma dirasai ketika kita perlu memotong atau ketika membuat pendakian. Tersenyum simpul Ranger ini bila menghadapi laluan curam yang menyebabkan trak-trak pikap lain tercungap-cungap.

Di sebelah malam, lampu Bi-LED dengan sistem matriks cukup membantu, memberikan keyakinan untuk penulis memandu sejauh 600 km dari pagi sampai ke malam.

Enjin yang senyap menjadikan kabin lebih selesa, tanpa sebarang gegaran. Sistem audio juga jauh lebih merdu kerana tidak perlu ‘bergaduh’ dengan bunyi ‘ketak-ketak’ dari enjin diesel biasa.
Setangki bahan api diesel pula mampu membawa penulis hampir kepada 750 km, walaupun dengan enjin yang baharu (cuma 550 km ketika diambil dari pejabat Ford).

Cukup sukar untuk menidakkan kebagusan pikap Ranger V6 ini dan harga yang ditawarkan pula berbaloi dengan kelengkapan yang diberikan.

Untuk pengguna biasa, Ranger dengan enjin 2.0L BiTurbo mungkin sudah lebih dari mencukupi kerana ia masih mampu menghasilkan daya kilas 500 Nm.

Bagi mereka yang sentiasa membawa beban atau yang sering menghadapi laluan curam dan tinggi dan mereka yang selalu memandu jarak jauh, Ranger Wildtrak V6 ini memang lebih berbaloi kerana enjinnya tidak akan menjadi terlalu tertekan.

Enjin dalam keadaan yang lebih selesa akan menjamin penggunaan bahan api yang lebih rendah dan mengurangkan tahap ‘wear and tear’ atau kehausan komponen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN