Beutea manfaat sijil halal, sasar 300 lokasi dalam 3 tahun

Beutea manfaat sijil halal, sasar 300 lokasi dalam 3 tahun

JESS Wong (kanan) di Majlis Perasmian Halal Beutea dan Pelancaran Teh Susu Buah Markisa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beutea Holdings Sdn. Bhd., sebuah jenama teh gaya hidup yang kini memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sekali gus memanfaatkannya dengan menyasarkan meningkatkan jumlah cawangan ke 200 hingga 300 lokasi dalam beberapa tahun akan datang. 

Pengarah Eksekutifnya, Jess Wong berkata, langkah itu menjadi asas kepada usaha Beutea memperluaskan pensijilan halal secara berperingkat ke seluruh rangkaian, seiring aspirasi jenama itu mentakrifkan semula minuman teh moden bagi generasi pengguna hari ini yang mementingkan kesihatan.

“Daripada 70 cawangan kedai sedia ada, kami menyasarkan untuk meningkatkan jumlah cawangan ke hampir 300 lokasi dalam beberapa tahun akan datang dengan memanfaatkan pertumbuhan pesat pasaran halal di Malaysia. 

“Dengan banyak cawangan telah menerima pensijilan halal, Beutea komited untuk meluaskan proses pensijilan ini agar pelanggan beragama Islam di seluruh negara dapat menikmati minuman Beutea dengan penuh keyakinan,” katanya selepas Majlis Perasmian Halal Beutea dan Pelancaran Teh Susu Buah Markisa baru-baru ini. 

Menurutnya, sehingga tahun lalu, sektor halal telah menyumbang sebanyak RM146.6 bilion, iaitu 7.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. 

Di bawah Pelan Induk Industri Halal 2030, Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan eksport halal kepada RM300 bilion menjelang 2030, dengan makanan dan minuman dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan.

Sementara itu, Eksekutif Halal Beutea, Norliyana Mat Noh berkata, sijil halal pertama diperoleh mereka adalah untuk tiga cawangan iaitu di Mid Valley, One Utama dan Sunway Piramid pada Januari lalu. 

“Setakat ini, kami sudah mempunyai 13 cawangan yang disahkan halal. 

“Selain itu, cabaran utama dalam mendapatkan pensijilan halal sebenarnya lebih kepada aspek pengambilan pekerja Islam. 

“Namun perkara itu telah berjaya diselesaikan dan kini kami sedang membuat kemajuan berterusan untuk melengkapkan keperluan halal di kesemua cawangan kami di Malaysia,” katanya. 

Beliau berkata, Beutea juga mempunyai perancangan untuk memperkenalkan produk baharu. 

“Sasaran kami adalah melancarkan satu minuman baharu setiap tiga hingga empat minggu. Setiap produk baharu yang dibangunkan selepas proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan terlebih dahulu dihantar kepada pihak berkuasa halal Jakim untuk mendapatkan kelulusan sebelum dilancarkan ke pasaran,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN