Salah ditawar gaji tiga kali ganda ganti Ronaldo

Salah ditawar gaji tiga kali ganda ganti Ronaldo

Mohamed Salah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Mohamed Salah berpotensi muncul sebagai wajah baharu Liga Pro Arab Saudi apabila bintang Liverpool itu dilaporkan menerima tawaran lumayan bernilai sekitar 1.2 juta pound (RM6.42 juta) seminggu menjelang jendela perpindahan musim panas ini.

Jumlah tersebut hampir tiga kali ganda daripada gaji semasanya di Anfield iaitu sekitar 400,000 pound (RM2.14 juta) seminggu, sekali gus membuka ruang kepada penyerang Mesir itu menamatkan tempoh hampir sembilan tahun bersama Liverpool.

Sumber menyebut kelab-kelab Saudi melihat Salah, 33, sebagai calon ideal menggantikan Cristiano Ronaldo selaku ikon utama liga, ketika masa depan kapten Al-Nassr itu semakin menjadi tanda tanya susulan rasa tidak puas hati terhadap dasar perpindahan pemain liga berkenaan.

Ronaldo dikatakan kecewa selepas bekas rakan sepasukannya di Real Madrid, Karim Benzema, dibenarkan berpindah dari Al-Ittihad ke Al-Hilal, malah kelibat bintang Portugal itu turut tidak kelihatan dalam aksi menentang Al-Riyadh, Isnin lalu.

Pegawai liga sebelum ini menegaskan tiada pemain, walau setaraf mana sekali pun, dibenarkan mempengaruhi keputusan jawatankuasa perpindahan bebas yang diwujudkan bagi mengelakkan perbelanjaan berlebihan oleh kelab.

Laporan sama turut mendakwa Ronaldo kini mempertimbangkan untuk kembali ke Eropah bagi memburu sasaran peribadi 1,000 gol sepanjang karier profesionalnya.

Arab Saudi bukan asing buat Salah apabila kelab-kelab dari liga itu pernah membuat pendekatan musim panas lalu dan namanya kekal sebagai sasaran utama, meskipun dia memilih untuk kekal bersama Liverpool selepas membantu pasukan itu menjulang kejuaraan liga musim lalu.

Namun begitu, hubungan dingin dengan pengurus baharu, Arne Slot, selepas Salah digugurkan susulan kritikan terbuka terhadap layanan diterimanya, mencetuskan spekulasi masa depannya di Anfield mungkin berakhir lebih awal. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN