ASEAN teroka hab perdagangan baharu termasuk bukan ahli CPTPP - Utusan Malaysia

ASEAN teroka hab perdagangan baharu termasuk bukan ahli CPTPP

MENTERI Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz (tengah) berucap pada ucapan pembukaan pada mesyuarat Majlis Kawasan Perlaburan Asean, (AIA) Council sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN meneroka penglibatan dengan hab perdagangan baharu, termasuk dialog ekonomi bukan anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) bagi membincangkan bidang kepentingan bersama.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, usaha ini memperkukuhkan lagi rangkaian serantau yang pelbagai dan berdaya tahan.

Katanya, walaupun dunia berdepan pertumbuhan perlahan, ketegangan geopolitik serta kebangkitan proteksionisme dengan tarif dan langkah perdagangan terpilih, ASEAN memilih laluan berbeza dengan memperkukuh komunikasi terbuka, integrasi dan kerjasama.

“ASEAN memilih jalan berbeza. Kita tidak terperangkap dalam pendekatan defensif atau balas dendam, sebaliknya menekankan komunikasi terbuka, integrasi dan kerjasama sebagai jalan ke arah kemakmuran bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, mesyuarat khas AEM yang berlangsung pada April lalu telah menghantar isyarat jelas bahawa ASEAN komited untuk memacu kestabilan ekonomi rantau ini, sekali gus menjamin daya tahan serta pertumbuhan jangka panjang.

“Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) juga telah berkembang jauh sejajar dengan Pelan Induk AEC 2025 dalam usaha menjadikan rantau ini sebagai hab pengeluaran dan pelaburan tunggal, di samping menggalakkan aliran bebas barangan, perkhidmatan, modal dan inovasi,” katanya.

Jelasnya, kedudukan ASEAN dalam perdagangan global semakin jelas apabila kini telah membentuk kawasan perdagangan bebas terbesar dunia yang merangkumi kira-kira 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

“Kita juga memperkukuh hubungan ekonomi dengan rakan dialog sedia ada melalui usaha menaik taraf beberapa perjanjian perdagangan bebas (FTA) ASEAN Plus One.

“Ini seperti ASEAN-China FTA 3.0, Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) baharu dan tidak lama lagi naik taraf ASEAN-Korea FTA,” ujarnya.

Tambahnya, rantau ini turut memperkemaskan hubungan strategik dengan ekonomi baharu, termasuk kerjasama ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang diperkukuh menerusi pengisytiharan bersama dalam Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-46 baru-baru ini.

Tengku Zafrul turut mengalu-alukan penyertaan Timor-Leste dalam mesyuarat AEM kali ini selaras garis panduan baharu Majlis Penyelarasan ASEAN yang akan memperluas lagi pasaran serta jajaran ekonomi rantau ini.

“Dengan visi bersama di bawah ASEAN 2045, kita yakin masa depan ASEAN akan terus dibentuk sebagai komuniti ekonomi berdaya tahan, makmur bersama dan berperanan besar dalam ekonomi global,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN