PETALING JAYA: Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) memeterai kerjasama strategik dengan SofaX yang membolehkan pelanggan baharu dan sedia ada pinjaman perumahan bank itu menikmati rebat perabot sehingga RM45 juta.
Menurut kenyataan, SofaX merupakan platform inovatif visualisasi reka bentuk rumah pertama di negara ini yang menawarkan perkhidmatan hiasan dalaman secara menyeluruh melalui teknologi realiti maya (VR) serta rangkaian peniaga terpilih.
Menerusi kerjasama ini, pemohon pinjaman atau pembiayaan perumahan Alliance Bank bernilai RM300,000 ke atas dengan insurans kredit layak menerima rebat perabot bernilai RM15,000.
Rebat tersebut boleh ditebus untuk pelbagai kelengkapan termasuk reka bentuk dalaman, perabot, peralatan elektrik dan barangan rumah lain di lebih 100 peniaga rakan niaga melalui aplikasi SofaX.
Ketua Perbankan Pengguna Kumpulan Alliance Bank, Gan Pai Li berkata, trend pemilik rumah masa kini semakin sofistikated dengan permintaan yang tinggi terhadap peluang mempertingkatkan ruang kediaman peribadi mereka.
“Di Alliance Bank, keutamaan kami adalah memenuhi keperluan komuniti, khususnya pelanggan, dengan menyediakan perkhidmatan yang melengkapi gaya hidup mereka.
“Melalui kerjasama dengan SofaX, kami bukan sahaja menyokong pelanggan untuk memiliki hartanah tetapi juga menggalakkan mereka menjadikan kediaman itu benar-benar sebuah rumah yang selesa. Sebagai The Bank For Life, kami mahu membuka lebih banyak nilai untuk pelanggan dengan hadir pada setiap detik penting dalam kehidupan mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi SofaX, Mac Lai berkata, matlamat pihaknya adalah menjadikan proses melengkapkan rumah idaman sama menyeronokkan dan mudah seperti memilikinya.
“Dengan aplikasi SofaX, pemilik rumah boleh mereka bentuk, memperibadikan dan melengkapkan kediaman menggunakan teknologi inovatif kami, disokong oleh perkhidmatan personal shopper serta pilihan jenama terpilih dan dipercayai.
“Kredit perabot yang diberikan juga boleh digunakan sama seperti aplikasi pembayaran lain, menjadikan pengalaman dari rumah kosong kepada rumah selesa lebih lancar sejak hari pertama,” katanya.
Alliance Bank berkata, pihaknya akan terus memperkasa produk dan perkhidmatan selaras dengan keperluan pelanggan yang sentiasa berubah, selain memperluas pengalaman pelanggan melalui kerjasama inovatif dan penawaran produk berpusatkan pengguna. – UTUSAN