AIZO perkukuh strategi baharu, fokus infrastruktur

AIZO perkukuh strategi baharu, fokus infrastruktur, tenaga boleh diperbaharui

AHMAD RAHIZAL AHMAD RASIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AIZO Group Berhad (AIZO), sebelum ini dikenali sebagai Minetech Resources Berhad mempercepatkan transformasi syarikat dengan strategi baharu yang memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, tenaga boleh diperbaharui dan inovasi teknologi.

Pengarah Eksekutifnya, Ahmad Rahizal Datuk Ahmad Rasidi berkata, pendekatan itu sejajar dengan misi baharu AIZO menyokong pertumbuhan jangka panjang Malaysia dan meletakkan syarikat sebagai kumpulan pelbagai generasi baharu dengan keupayaan pelaksanaan kukuh serta aspirasi pertumbuhan tinggi.

Beliau berkata, strategi berkenaan disokong rekod pencapaian terbukti dalam penyampaian projek infrastruktur.

“Sepanjang tahun lalu, AIZO memperoleh beberapa kontrak penting termasuk kerja jalan dan saliran di Kuala Lumpur, naik taraf sistem kumbahan di Terengganu serta projek infrastruktur utama di Serendah, Selangor.

“Pada Oktober 2024, AIZO menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Netrunner Sdn. Bhd. untuk meneroka pembangunan taman pusat data Tier 4 berteknologi tinggi di Sarawak, mengukuhkan komitmen terhadap pembangunan infrastruktur sebagai segmen teras perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Ahmad Rahizal berkata, projek itu selari dengan inisiatif kerajaan di bawah Belanjawan 2025 yang dijangka memacu pertumbuhan sektor pembinaan sebanyak 9.4 peratus, termasuk peruntukan RM5.9 bilion bagi infrastruktur dan projek kesalinghubungan utama di Sarawak.

Dalam pada itu, beliau berkata, AIZO juga memberi tumpuan kepada tenaga boleh diperbaharui sebagai pemacu utama keuntungan masa depan.

“Syarikat kini mengendalikan loji janakuasa solar terapung berkapasiti 9.99 megawatt (MW) di Pantai Remis, Perak.

“Selain itu, anak syarikat milik 63 peratus, Wawasan Demi Sdn. Bhd., telah memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga selama 21 tahun dengan Tenaga Nasional Berhad bagi membangunkan kemudahan Solar Skala Besar 99.99MW di Kampar, Perak yang dijadualkan beroperasi secara komersial pada Oktober 2027.

“Kedua-dua projek ini memberi peranan penting kepada AIZO dalam menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan sasaran tenaga boleh diperbaharui 40 peratus menjelang 2035,” ujarnya.

Beliau berkata, AIZO menyasarkan meningkatkan tiga kali ganda portfolio tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030 serta memperluas lagi projek infrastruktur di seluruh negara dan rantau ini.

Jelasnya, segmen produk bitumen kekal sebagai penyumbang utama hasil syarikat, disokong permintaan infrastruktur yang kukuh dan sokongan berterusan daripada projek kerajaan.

“Kejuruteraan awam dijangka terus menyumbang secara stabil, manakala pengembangan strategik dalam tenaga boleh diperbaharui dan infrastruktur teknologi maklumat akan merebut peluang pertumbuhan masa depan.

“Kami fokus projek berimpak tinggi yang meningkatkan prestasi AIZO dan menyumbang pembangunan jangka panjang negara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN