KUALA LUMPUR: Perjanjian Rangka Kerja Persaingan ASEAN (AFAC) menunjukkan komitmen sepenuhnya ASEAN terhadap keadilan, ketelusan dan integriti dalam pasaran, sekali gus memperkukuhnya reputasi sebagai rakan ekonomi yang dinamik dan boleh dipercayai.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, memandangkan ekonomi global terus berkembang di tengah-tengah kerumitan dan ketidakpastian, komitmen ASEAN terhadap dasar persaingan menghantar isyarat yang jelas dan positif.
Katanya, ia menunjukkan kepada dunia bahawa ASEAN bersedia untuk menegakkan standard tertinggi tadbir urus, integriti perniagaan dan ketelusan.
“Dengan berbuat demikian, kami memastikan rantau ini kekal menarik, berdaya saing dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa depan. Lebih penting lagi, AFAC meletakkan orang ramai di tengah-tengah agenda ekonomi ASEAN.
“Dengan melindungi pengguna dan memastikan persaingan yang sama rata untuk perniagaan, kami mengukuhkan kontrak sosial antara ekonomi kita dan rakyat kita.
“Inilah yang menjadikan ASEAN benar-benar berpaksikan rakyat, inklusif dan berpandangan ke hadapan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian AFAC sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, pemeteraian perjanjian itu juga penting kerana ia sejajar dengan tema Kepemimpinan ASEAN Malaysia pada 2025 iaitu ‘Keterangkuman dan Kelestarian’.
“AFAC merangkumi keterangkuman dengan memastikan persaingan memberi manfaat kepada semua segmen masyarakat, daripada pengguna dan perusahaan kecil.
“Pada masa yang sama, ia menggalakkan kemampanan dengan memupuk inovasi dan kecekapan, yang kedua-duanya penting untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi jangka panjang di seluruh rantau kita,” jelasnya.
Tambahnya, AFAC mewakili usaha kerja gigih bertahun-tahun, rundingan yang teliti dan paling penting iaitu perkongsian visi.
“Pencapaian ini mencerminkan tahap komitmen tertinggi oleh negara anggota ASEAN ke arah memperkukuh tadbir urus ekonomi,” katanya. – UTUSAN