PETALING JAYA: Hartalega Holdings Berhad (Hartalega) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM12 juta bagi suku tahunan pertama berakhir 30 Jun 2025 berbanding RM32 juta pada suku sama tahun sebelum.
Menurut kenyataan, keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan pula berjumlah RM14 juta, manakala hasil pula sebanyak RM553 juta.
“Prestasi bagi suku itu terjejas akibat penurunan dalam harga jualan purata (ASP) serta jumlah jualan yang lebih rendah yang berpunca terutamanya daripada lebihan inventori sedia ada oleh pelanggan di Amerika Syarikat (AS) dan penangguhan pesanan susulan perkembangan tarif yang sedang berlaku.
“Pada masa yang sama, tekanan harga semakin meningkat di pasaran bukan AS, didorong oleh lebihan bekalan daripada pengeluar China.
“Selain itu, keuntungan operasi turut terjejas disebabkan oleh ASP yang lebih rendah, pengukuhan Ringgit Malaysia serta penyerapan kos yang kurang menggalakkan akibat penggunaan kapasiti yang lebih rendah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kuan Mun Leong berkata, suku tahunan pertama mencerminkan penyesuaian semula yang sedang berlaku dalam sektor sarung tangan global.
“Dengan lebihan kapasiti yang masih berterusan dan kos operasi yang semakin meningkat, persaingan kekal sengit, terutamanya daripada China dan pengeluar serantau lain.
“Ketidaktentuan berterusan mengenai dasar tarif US terus memberi tekanan ke atas permintaan, khususnya di pasaran US, di samping mendorong perubahan dari aspek strategi perolehan jangka panjang dalam kalangan pengimport US.
“Walau bagaimanapun, kami tetap berpegang kepada strategi jangka panjang kami yang menumpukan kepada peningkatan kecekapan pengeluaran dan pengoptimuman kos, pelaburan dalam automasi berteknologi tinggi, mengekalkan disiplin fiskal yang kukuh, serta memperkemas pendekatan jualan bagi memperkukuh daya saing dan daya tahan Hartalega,” ujarnya.
Jelasnya, walaupun keadaan dalam jangka masa terdekat adalah mencabar, permintaan struktur terhadap sarung tangan getah kekal mempunyai prospek yang kukuh, didorong oleh peningkatan keperluan penjagaan kesihatan global dan kesedaran terhadap amalan kebersihan.
“Fokus kami kekal kepada usaha membina nilai jangka panjang sambil terus menegakkan amalan terbaik dalam pembuatan yang bertanggungjawab dan pematuhan ESG,” katanya. – UTUSAN