Trend tinggal di hotel hanya relevan untuk segmen tertentu

Trend tinggal di hotel hanya relevan untuk segmen tertentu

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TREND memilih tinggal di hotel sebagai alternatif kepada menyewa atau membeli rumah dikesan wujud di Malaysia, namun ia hanya melibatkan segmen kecil masyarakat, khususnya golongan berpendapatan tinggi dengan pekerjaan yang memerlukan mobiliti tinggi.

Pakar hartanah, Ahyat Ishak berkata, sekiranya hotel lebih jimat atau berbaloi disewa berbanding sewa rumah mahupun beli rumah sendiri menunjukkan bahawa situasi kemampuan itu semakin meruncing sehingga mendorong sesetengah individu mempertimbangkan pilihan luar kebiasaan.

“Pemilikan rumah adalah asas kestabilan hidup, terutama bagi mereka yang berkeluarga. 

“Bagi golongan muda yang belum mampu memiliki rumah sendiri, menyewa adalah pilihan wajar. Namun, tinggal di hotel tidak sesuai untuk kebanyakan lapisan masyarakat kerana faktor kemampuan,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Menurutnya, faktor utama yang mendorong segelintir individu memilih tinggal di hotel ialah sifat pekerjaan yang berpindah-randah serta gaya hidup tertentu. 

“Golongan ini biasanya belum berkeluarga, mempunyai pendapatan tinggi dan bekerja dalam bidang yang memerlukan mobiliti, seperti nomad digital atau profesional berkemahiran khusus.

“Sebagai contoh, rakan saya yang tinggal di hotel di Dubai selama setahun kerana kontrak kerja bersifat sementara, sebelum akhirnya mencari hartanah untuk dibeli.

“Walaupun tinggal di hotel kelihatan menarik, dalam tempoh lama ia boleh menjadi tidak praktikal. Kebanyakan yang mencuba pilihan ini akhirnya beralih kepada penyewaan atau pembelian hartanah,” ujarnya.

Menyentuh soal kos, Ahyat berkata perbandingan perlu dibuat secara setara (apple to apple) dari segi lokasi, jenis penginapan dan gaya hidup.

“Tidak adil membandingkan rumah banglo dengan hotel bajet atau kondominium mewah dengan hotel lima bintang tanpa mengambil kira perbezaan saiz, perkhidmatan dan kemudahan,” katanya.

Menurut beliau, kos penginapan hotel jangka panjang lazimnya merangkumi semua caj termasuk utiliti, berbeza dengan penyewaan apartmen yang memerlukan bayaran berasingan.

Bagaimanapun, Ahyat berpendapat trend ini tidak memberi kesan ketara kepada pasaran sewa hartanah memandangkan ia hanya relevan kepada segmen tertentu. 

“Bagaimanapun, ia berpotensi menjadi saingan kepada pemilik hartanah yang menjalankan perniagaan short-term stay atau Airbnb jika hotel menawarkan pakej sewaan jangka sederhana atau panjang dengan harga setara,” ujarnya. 

Sementara itu, Pe­nganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, trend menetap di hotel untuk tempoh jangka panjang semakin mendapat sambutan, khususnya di bandar-bandar besar, susulan perubahan gaya hidup dan corak kerja.

Katanya, kadar sewa kediaman yang tinggi, hampir menyamai kos menginap di hotel, selain isu birokrasi antara penyewa dan tuan rumah, menjadi antara faktor utama mendorong pilihan ini.

“Bagi sebahagian golongan profesional, kemudahan penye­lenggaraan yang disediakan pi­hak hotel termasuk kebersihan bi­lik tanpa perlu diuruskan sendiri, menjadi tarikan tambahan. 

“Walaupun kosnya kadangkala sedikit lebih tinggi berbanding sewa rumah, faktor keselesaan dan kemudahan dianggap berbaloi.

“Lokasi strategik hotel di pusat bandar, berhampiran kemudahan awam, turut memberi kelebihan berbanding rumah sewa yang lazimnya terletak lebih jauh walaupun ditawarkan pada kadar lebih rendah. 

“Aspek keselamatan dan privasi, khususnya bagi penyewa wanita, juga menjadi pertimbangan penting,” katanya. 

Beliau berkata, trend tersebut kebanyakannya melibatkan golongan bujang atau individu yang bekerja jauh dari keluarga, termasuk pekerja industri minyak dan gas yang menerima faedah penginapan di hotel daripada majikan ketika bertugas.

“Fenomena tersebut turut membuka peluang kepada pengusaha hotel bajet dan hotel lama untuk memanfaatkan permintaan penginapan jangka panjang. 

“Misalnya, perkhidmatan pembersihan bilik yang dikurangkan kepada sekali seminggu berbanding setiap hari mampu mengurangkan kos operasi dan melancarkan aliran tunai,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×