KUALA LUMPUR: CIMB Group tidak tergesa-gesa menyenaraikan entiti digitalnya, TNG Digital Sdn. Bhd. ke pasaran saham, walaupun syarikat tersebut telah mencapai status unicorn pada awal tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Malaysia dan CIMB Bank Berhad, Gurdip Singh Sidhu berkata, TNG Digital sudah mencapai penilaian pasaran melebihi AS$1 bilion (RM4.23 bilion).
“Kami sangat yakin TNG Digital layak digelar unicorn, tetapi buat masa ini, tumpuan kami adalah kepada pertumbuhan perniagaan dan bukan tergesa-gesa untuk penyenaraian awam,” katanya kepada pemberita dalam sesi bersama media sempena MyFintech 2025 di Sasana Kijang sini, semalam.
Sebelum ini, sumber melaporkan syarikat teknologi kewangan (fintech) terbesar Malaysia itu sedang melihat potensi tawaran awam permulaan (IPO) domestik dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, yang boleh menjana lebih AS$300 juta (RM1.25 bilion).
TNG Digital yang dimiliki secara majoriti oleh CIMB Group dengan pegangan sekitar 52 peratus memainkan peranan penting dalam memodenkan sistem pembayaran domestik melalui penggunaan kad prabayar, teknologi RFID dan platform dompet digital.
Sementara itu, Gurdip Singh berkata, TNG Digital turut dilaporkan mula mencatat keuntungan sejak awal tahun ini, menandakan peralihan penting dalam model perniagaan selepas bertahun-tahun beroperasi.
Katanya, fokus utama TNG digital kekal di Malaysia dengan lebih 23 juta pengguna yang telah melalui proses Know Your Customer (KYC).
“Walaupun pertumbuhan pengguna mungkin mula mendatar, CIMB percaya peluang terletak pada peluasan penggunaan dompet digital ke pelbagai perkhidmatan kewangan lain bukan sekadar transaksi pembayaran.
“Kini, dengan e-wallet, pengguna bukan sahaja boleh membayar, tetapi juga melakukan pelbagai perkara lain seperti pelaburan mikro dan simpanan digital,” katanya.
Gurdip Singh berkata, terdapat peningkatan ketara dalam jumlah transaksi digital melalui Touch ‘n Go, namun pertumbuhan ini masih di peringkat awal.
“Bagaimanapun, setakat ini, syarikat belum mendedahkan statistik terperinci tetapi menjanjikan maklumat lanjut akan dikongsi kelak,” katanya.
Dalam pada itu, TNG Digital terus mencatatkan pertumbuhan positif dalam operasinya, terutama menerusi kerjasama rentas sempadan yang kini membolehkan pengguna e-wallet melakukan transaksi di luar negara.
“TNG Digital kini telah mengintegrasikan perkhidmatan dengan platform antarabangsa, membolehkan pengguna dari Malaysia menggunakan e-wallet mereka ketika melancong ke luar negara,” katanya.
Dalam masa yang sama, pelabur serta peniaga tempatan juga boleh menerima bayaran daripada pengguna e-wallet luar negara seperti Alipay.
“Ini membuka peluang lebih luas kepada perniagaan tempatan untuk menerima bayaran daripada pelawat antarabangsa, terutamanya dalam sektor pelancongan dan perdagangan rentas sempadan,” katanya. – UTUSAN










