Tarif semikonduktor: Malaysia perlu teroka pasaran baharu 

Tarif semikonduktor: Malaysia perlu teroka pasaran baharu 

ANTARA pasaran baharu untuk industri semikonduktor yang boleh diteroka Malaysia termasuk China, Jepun dan GCC.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu segera meneroka pasaran baharu seperti China, Jepun dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) susulan pengumuman tarif 100 peratus ke atas semua cip semikonduktor yang diimport ke Amerika Syarikat (AS).

Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, langkah drastik Presiden AS, Donald Trump itu dijangka memberi impak besar kepada industri semikonduktor Malaysia, yang kini bergantung kepada pasaran AS sebagai destinasi eksport utama.

“Ini bukan masa untuk bergantung sepenuhnya kepada AS.

“Kita perlu segera perbanyakkan rundingan perdagangan dengan negara seperti China, Korea, Jepun dan GCC untuk mempelbagaikan pasaran dan mengurangkan risiko kebergantungan,” kata seorang pakar ekonomi tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mustafa menegaskan kesan perubahan ini perlu dimasukkan secara serius dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan datang.

“Selain tekanan daripada tarif AS, harga minyak mentah dunia yang terus rendah juga dijangka mengurangkan hasil negara, sekali gus menekan fiskal kerajaan.

“Kita sedang berdepan dua tekanan serentak iaitu kelembapan hasil petroleum dan gangguan kepada eksport cip. RMK13 mesti menyusun strategi baharu, termasuk pelaburan ke arah teknologi dan diversifikasi pasaran,” katanya.

Dalam jangka panjang, jelas beliau, Malaysia tidak boleh lagi bergantung semata-mata kepada syarikat gergasi seperti Intel untuk mengekalkan kedudukan dalam sektor teknologi.

“Sebaliknya, negara perlu melabur secara serius dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi membangunkan cip tempatan dan harta intelek sendiri,” katanya.

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil pula berkata, penggiat industri dijangka tidak mempunyai banyak pilihan selain membayar tarif yang dikenakan bagi mengekalkan aliran eksport ke pasaran AS.

“Pengeluaran tak boleh dialihkan sekelip mata. Maka, mahu atau tidak, syarikat terpaksa menyerap kos tambahan sementara mencari penyelesaian jangka panjang,” katanya.

Bagi jangka panjang, Malaysia perlu mengembalikan semula peranan lokasi strategik seperti Pulau Pinang dan Cyberjaya sebagai hab semikonduktor serantau.

“Ini termasuk penambahan insentif pelaburan, pengembangan infrastruktur dan latihan modal insan bagi menyokong pertumbuhan industri bernilai tinggi ini.

“Malaysia perlu muncul sebagai alternatif kepada rantaian bekalan global  bukan sekadar pengeksport bahan mentah tetapi sebagai pusat pembangunan dan pembuatan cip bernilai tinggi,” katanya.

Jelas Mohd. Rizal, walaupun Trump menggalakkan syarikat asing membuka kilang di AS untuk mengelakkan tarif, langkah itu tidak praktikal bagi kebanyakan firma Malaysia.

“Kos operasi sangat tinggi dan peraturan di AS juga rumit. Kemungkinan besar syarikat Malaysia tidak akan berbuat demikian,” tambahnya.

Sebaliknya, beliau mengesa Malaysia memperkukuh kerjasama dengan pengeluar cip utama dari Taiwan, Korea Selatan dan Jepun dengan harapan negara-negara ini tidak mengikut jejak AS dalam menaikkan tarif.

Tambahan pula, jelasnya, kebanyakan syarikat semikonduktor di Malaysia adalah milik AS antaranya Intel, yang telah melabur berbilion dolar di negara ini.

“Tindakan Trump yang dilaporkan mahu memecat Ketua Pegawai Eksekutif Intel boleh memberi kesan langsung terhadap pelaburan syarikat itu di Malaysia.

“Jika tumpuan Intel kembali sepenuhnya ke AS, Malaysia akan kehilangan salah satu pemain utama industri. Ini akan beri kesan kepada pekerjaan dan ekosistem teknologi tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN