PETALING JAYA: Projek pembangunan pusat data Sime Darby Property Bhd. berjalan mengikut jadual tanpa terjejas oleh pelaksanaan tarif baharu Amerika Syarikat (AS) yang menimbulkan kebimbangan terhadap aliran pelaburan global.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Azmir Merican berkata, setakat ini pemaju hartanah itu tidak melihat sebarang kesan besar daripada langkah tarif terbabit terhadap projek pusat data yang sedang dibangunkan.
“Berdasarkan perbincangan dengan pelanggan, tiada tanda kelembapan atau pengurangan minat pelaburan.
“Projek pusat data yang dimajukan Sime Darby Property masih diteruskan sepenuhnya mengikut jadual,” katanya pada sidang media selepas taklimat prestasi kewangan separuh pertama kumpulan, semalam.
Sime Darby Property sedang membangunkan dua pusat data di Elmina Business Park milik Google dan Pearl Computing (syarikat berkaitan Google) di kawasan seluas 50 hektar dengan nilai pajakan 20 tahun berjumlah RM7.6 bilion.
Baru-baru ini, Sime Darby Property mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah kepada RM143.54 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025, berbanding RM161.96 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Hasil suku tersebut menurun kepada RM1.06 bilion daripada RM1.20 bilion sebelum ini, terutamanya dipacu oleh sumbangan lebih rendah daripada segmen pembangunan hartanah, menurut pemakluman syarikat itu kepada Bursa Malaysia.
Bagi separuh pertama 2025, kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM1.93 bilion iaitu penurunan 11.4 peratus berbanding RM2.18 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan pengurangan 13 peratus dalam segmen pembangunan hartanah
Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim sebanyak 1.5 sen sesaham, berjumlah RM102 juta bagi suku tersebut. Tarikh kelayakan ditetapkan pada 30 September dengan pembayaran dijadualkan pada 16 Oktober.
Azmir berkata, prospek pusat data kekal positif disokong permintaan infrastruktur digital yang terus meningkat.
“Syarikat turut memberi tumpuan kepada struktur pembiayaan optimum bagi memastikan projek berimpak tinggi seperti pusat data dapat dibangunkan dengan lancar.
“Pelbagai opsyen pembiayaan sedang dikaji agar kedudukan modal kekal kukuh,” katanya.
Selain projek pusat data, Sime Darby Property juga mengekalkan sasaran jualan RM3.6 bilion tahun ini dengan pelancaran projek baharu yang telah dijadualkan.
“Prestasi kewangan semasa menunjukkan kumpulan berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran tahunan,” katanya.
Mengulas mengenai isu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), beliau berkata, perbincangan dengan pihak berkuasa masih berjalan bagi mendapatkan kejelasan mengenai kesannya terhadap kumpulan dan sektor hartanah.
“Namun begitu, perbincangan sedang diterajui Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) untuk mendapatkan penjelasan lanjut,” ujarnya.
Tambahnya, sebarang implikasi kos akan diteliti bersama kontraktor bagi mencari penyelesaian terbaik.
“Secara umumnya memang akan ada impak, tetapi berapa besar kesannya, kami perlu tunggu penjelasan lanjut. Apa yang penting, kami mahu memahami dahulu mekanismenya sebelum mengira kesan margin sebenar.
“Meskipun terdapat kos tambahan daripada SST, syarikat tetap komited meneruskan pembangunan projek mengikut jadual bagi mengekalkan kepercayaan pembeli dan pelabur,” ujarnya.










