PETALING JAYA: Pengumuman tarif import sebanyak 100 peratus ke atas cip semikonduktor oleh Amerika Syarikat (AS) menimbulkan ketidakpastian dalam kalangan syarikat semikonduktor yang beroperasi di Malaysia, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).
Presiden FMM, Soh Thian Lai berkata, kebimbangan ini turut dirasai syarikat berpangkalan di AS yang telah lama menjadikan Malaysia sebagai hab utama dalam rantaian bekalan global mereka.
Beliau berkata, Malaysia kini diiktiraf sebagai antara pemain utama dunia dalam sektor pemasangan, pembungkusan dan ujian semikonduktor, menyumbang kira-kira 13 peratus daripada output global bagi proses akhir industri tersebut.
“FMM menyambut baik jaminan awal daripada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz sebahagian firma AS di Malaysia mungkin dikecualikan daripada tarif tersebut.
“Namun begitu, panduan yang jelas dan tepat pada masanya amat penting bagi mengekalkan keyakinan pelabur dan mengelakkan gangguan terhadap rantaian bekalan global yang saling bergantung dengan pasaran AS,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Data terkini 2024 menunjukkan jumlah eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia ke AS mencecah RM119.86 bilion iaitu sekitar 20 peratus daripada keseluruhan eksport E&E negara.
Eksport semikonduktor sahaja bernilai kira-kira RM60.6 bilion, mewakili sekitar 20 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport semikonduktor Malaysia.
Sebelum ini, cip semikonduktor dikecualikan daripada dasar tarif timbal balas oleh AS dan perubahan dasar ini telah mencetuskan kebimbangan serta keperluan segera untuk penjelasan daripada pihak berkaitan.
Sebagai langkah memperkukuh kefahaman industri terhadap landskap pelaburan AS, FMM baru-baru ini telah bekerjasama dengan Kedutaan AS untuk menganjurkan sesi taklimat bersama Export-Import Bank of the United States.
Inisiatif ini bertujuan memberi pencerahan kepada syarikat Malaysia tentang insentif kewangan dan peluang pelaburan di pasaran Amerika.
Sementara itu, Thian Lai berkata, FMM menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan dan rakan antarabangsa demi memastikan kedudukan Malaysia sebagai hab semikonduktor dan pembuatan yang kompetitif, dipercayai dan berdaya saing kekal kukuh dan terus diperkasa.
“Saya menggesa kerajaan agar mempertingkatkan sokongan terhadap strategi pelaburan domestik dan luar negara, sejajar dengan pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
“Penekanan perlu diberikan kepada pelaburan dalam reka bentuk litar bersepadu (IC design), pembungkusan lanjutan, fabrikasi wafer, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembangunan bakat,” katanya.
Beliau juga menekankan keperluan untuk memudahcara syarikat Malaysia yang merancang untuk mengembangkan operasi ke luar negara, khususnya ke pasaran AS.
“Proses ini bukan sahaja kompleks dan berisiko tinggi, malah memerlukan kepakaran dan sokongan institusi yang berterusan.
“Oleh itu, FMM menyeru agar kerajaan menyediakan langkah sokongan yang disasarkan, termasuk kemudahan regulatori, khidmat nasihat khusus, kerjasama dua hala bagi mengurangkan halangan pasaran, serta akses kepada mekanisme pembiayaan.
“Langkah-langkah ini penting bagi memastikan pengilang Malaysia dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dinamik perdagangan global tanpa perlu memindahkan operasi teras mereka ke luar negara. Dengan sokongan yang tepat, syarikat mampu mengekalkan serta mengembangkan aktiviti bernilai tinggi di Malaysia sambil meluaskan pasaran secara strategik,” katanya. – UTUSAN










