Subsidi bersasar jadi tumpuan Belanjawan 2026

Subsidi bersasar, tarik pelaburan bernilai tinggi jadi tumpuan Belanjawan 2026

LEBIH 50 peratus rakyat Malaysia mempertimbangkan untuk persaraan mini bermula usia 46 tahun. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Belanjawan 2026 yang dijadual dibentang pada 10 Oktober ini dijangka menumpukan perhatian kepada pelaksanaan subsidi bersasar, pembaharuan struktur ekonomi serta usaha menarik pelaburan bernilai tinggi, kata pakar ekonomi.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, Belanjawan 2026 akan diselaraskan dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi penekanan kepada peningkatan daya saing negara dan pemerkasaan kualiti hidup rakyat. 

“Sehubungan itu, kerajaan dijangka memperuntukkan dana besar untuk menggandakan usaha menarik pelaburan dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi, 

“Antara sektor tumpuan adalah semikonduktor, pembuatan termaju, perkhidmatan berasaskan kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui serta teknologi digital. Ini sejajar dengan usaha Malaysia menjadi hab serantau dalam industri berteknologi tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, jelas beliau, pembentangan Belanjawan 2026 juga dijangka merangkumi inisiatif bagi mengukuhkan pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang merupakan tulang belakang ekonomi negara. 

“Sektor lain yang turut mendapat perhatian termasuk kewangan Islam, pelancongan dan pembangunan wilayah dengan sokongan khusus terhadap perniagaan dan inovasi tempatan.

“Langkah-langkah ini dilihat penting bagi memastikan ekonomi Malaysia terus berkembang secara inklusif dan mampan, di samping mengekalkan daya tarikan sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini,” katanya.

Menurut Aimi Zulhazmi, Belanjawan 2026 bakal menjadi indikator penting hala tuju ekonomi negara dalam tempoh sederhana, dengan memberi penekanan kepada daya tahan, inovasi serta penyertaan aktif semua lapisan masyarakat dalam agenda pembangunan negara.

Sementara itu, Profesor Kewangan Dan Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Prof Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, Belanjawan 2026 dijangka memberi tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus, pembangunan ekonomi berteknologi tinggi serta peningkatan taraf hidup rakyat.

Menurut beliau, tiga teras utama akan mewarnai dasar fiskal tahun hadapan, sejajar dengan aspirasi Ekonomi Madani yang menekankan pertumbuhan seimbang dan inklusif.

“Kerajaan dijangka memperkukuh tadbir urus dan melaksanakan transformasi sektor awam sebagai langkah awal ke arah pentadbiran yang lebih cekap dan telus. 

“Pada masa sama, tumpuan juga akan diberikan kepada pembangunan ekonomi berpendapatan tinggi melalui pelaburan dalam sektor bernilai tambah tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut, antara sektor strategik yang dikenal pasti termasuk industri semikonduktor dan teknologi canggih, peralihan kepada tenaga hijau serta pembangunan infrastruktur grid nasional. 

“Dalam masa yang sama, ekonomi Islam merangkumi kewangan Islam dan industri halal dijangka terus menerima sokongan dalam bentuk insentif dan dasar mesra pelabur.

“Turut dijangka menjadi agenda utama adalah digitalisasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta pembangunan pelancongan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya. 

Di peringkat wilayah pula, jelasnya, pembangunan serantau di Sabah dan Sarawak serta zon ekonomi khas akan menjadi keutamaan bagi memastikan agihan pembangunan yang lebih seimbang di seluruh negara.

“Belanjawan kali ini dijangka menyeimbangkan antara agenda pemodenan ekonomi dan keperluan rakyat, termasuk melalui pelaksanaan subsidi bersasar dan pengukuhan jaringan keselamatan sosial,” katanya. 

Belanjawan 2026 dijangka dibentangkan di Parlimen pada 10 Oktober ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×