PETALING JAYA: Sunway Construction Group Bhd. (SunCon) menegaskan siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bulan lalu hanya membabitkan salah laku peribadi seorang bekas pekerjanya dan sama sekali tidak melibatkan syarikat mahupun anak-anak syarikatnya.
Menurut syarikat pembinaan itu, dalam satu surat bertarikh 18 Ogos, SPRM turut mengesahkan bahawa SunCon tidak disiasat di bawah mana-mana peruntukan Akta SPRM 2009 termasuk Seksyen 17A.
“Perkara berkenaan merupakan satu insiden terpencil. Pekerja yang terbabit sudah ditamatkan perkhidmatannya dan kini sedang disiasat lanjut oleh pihak berkuasa.
“Bagi memperkukuh tadbir urus, syarikat telah memulakan audit serta semakan menyeluruh terhadap prosedur tender bagi mengenal pasti dan menangani sebarang kelemahan dalam operasi,” katanya dalam kenyataan.
SunCon pada masa sama menegaskan ia diperakui di bawah Sistem Pengurusan Anti-Rasuah ISO 37001:2016 oleh SIRIM QAS International. – UTUSAN