PETALING JAYA: Sektor perkhidmatan merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM118.6 bilion atau 62.3 peratus daripada jumlah keseluruhan melibatkan 2,476 projek dalam separuh pertama 2025.
Sektor itu mencatat pertumbuhan 25.6 peratus tahun ke tahun dengan 42,576 peluang pekerjaan baharu dijangka diwujudkan.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, daripada jumlah itu, pelaburan domestik menyumbang RM66.6 bilion (56.2 peratus), manakala pelaburan asing sebanyak RM52 bilion (43.8 peratus), mencerminkan keyakinan seimbang pelabur tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya, subsektor utama yang mencatatkan pelaburan tinggi ialah teknologi maklumat dan komunikasi (RM59.6 bilion), hartanah (RM38.6 bilion), utiliti (RM6.0 bilion), perkhidmatan sokongan (RM5.9 bilion) dan perdagangan pengedaran (RM4.3 bilion).
Sementara itu, antara projek utama sektor perkhidmatan ialah fasiliti tercanggih Kuala Lumpur Gateway oleh DHL Express (Malaysia) Sdn. Bhd. bernilai RM300 juta, pelaburan Adventist Hospital & Clinic Services (M) (RM300 juta) di Pulau Pinang, projek solar perdana SM01 Sdn. Bhd. (hampir RM200 juta) di Gurun, Kedah serta projek loji solar terapung terbesar di Batang Ai, Sarawak (RM184.6 juta) oleh Base Floating Solar Sdn. Bhd.
MIDA berkata, sektor pembuatan pula memperoleh pelaburan diluluskan berjumlah RM68.4 bilion (36.0 peratus) bagi separuh pertama melibatkan 518 projek, sekali gus dijangka menjana 46,690 pekerjaan.
“Pelaburan asing mendominasi dengan RM53.3 bilion (78.0 peratus), manakala pelaburan domestik menyumbang RM15.1 bilion (22.0 peratus).
“Indeks pengurusan, teknikal dan penyeliaan (MTS) meningkat kepada 46.9 peratus berbanding 42.7 peratus tahun sebelumnya, menunjukkan peningkatan keupayaan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Industri utama yang mencatat pelaburan besar termasuk kimia dan produk kimia (RM15.5 bilion), elektrik dan elektronik (RM13.1 bilion), produk logam asas (RM9.8 bilion), produk mineral bukan logam (RM7.1 bilion) serta jentera dan peralatan (RM5.2 bilion),” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, walaupun persekitaran global bergolak, ekonomi Malaysia berkembang 4.4 peratus pada suku kedua 2025 dan momentum pelaburan kekal kukuh.
“Ini mencerminkan kekuatan asas kita dan keyakinan pelabur terhadap hala tuju jangka panjang negara.
“Melalui Invest Malaysia Facilitation Centre, semua agensi berkaitan disatukan di bawah satu bumbung bagi mempercepat kelulusan dan pelaksanaan projek.
“Inilah sebabnya lebih 85 peratus projek pembuatan yang diluluskan sejak 2021 hingga Jun 2025 sudah berjalan.
“Pendekatan ini membolehkan pelabur menukar rancangan kepada tindakan, mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan daya saing Malaysia walaupun keadaan global mencabar,” katanya.
Antara 2021 hingga Jun 2025, sebanyak 3,883 projek pembuatan diluluskan, dengan 85.1 peratus (3,414 projek) telah dilaksanakan, 11.9 peratus masih dalam perancangan dan 3.0 peratus tidak diteruskan kerana perubahan hala tuju pelabur.
Lebih 90 peratus projek yang diluluskan antara 2021 hingga 2023 telah dilaksanakan, manakala projek pada 2024 (83.5 peratus) dan Jan hingga Jun 2025 (49.6 peratus) juga sedang berjalan, walaupun purata tempoh matang projek adalah antara 18 hingga 24 bulan.
Sehingga 31 Julai 2025, MIDA menguruskan 385 projek berpotensi bernilai RM22.5 bilion, selain masih dalam perbincangan untuk pelaburan berimpak tinggi berjumlah RM103.8 bilion. – UTUSAN