Harga barangan masih terkawal, KPDN pantau jika berlaku kenaikan

Harga barangan masih terkawal, KPDN pantau jika berlaku kenaikan

FUZIAH Salleh hadir pada Majlis Perasmian Penutup Program Usahawan Muda (PUM) Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM, Bangi, di sini hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Keadaan harga barangan di pasaran ketika ini masih terkawal tanpa sebarang laporan kenaikan mendadak.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,  Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, pihaknya akan sentiasa mengadakan libat urus bersama industri sekiranya terdapat keperluan untuk sebarang kenaikan harga.

Menurutnya, sebarang pelarasan harga perlu melalui proses rundingan terlebih dahulu.

“Setakat ini tidak terdapat laporan mengenai kenaikan harga yang mendadak di pasaran. Namun, kita memahami situasi geopolitik global yang sedang berlaku ketika ini,” katanya kepada pemberita di majlis penutupan Program Usahawan Muda Peringkat Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.  

Menurut Fuziah , keadaan tersebut bukan sahaja melibatkan Malaysia malah seluruh dunia turut berdepan situasi sama.

“Kita faham dan ini bukan sekadar isu sokongan kepada produk tempatan tetapi merupakan cabaran global. 

“Kementerian sentiasa peka terhadap perkembangan tersebut dan memantau harga barangan secara berterusan,” katanya. 

Beliau berkata, pemantauan dilakukan setiap hari bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan dalam situasi semasa.

Sebelum ini, Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia menjangkakan harga makanan boleh meningkat sehingga 50 peratus berikutan kenaikan kos minyak dan operasi yang memberi tekanan kepada peniaga.

Menurutnya, peningkatan itu disebabkan kos bahan mentah dan barangan asas meningkat berikutan kenaikan kos pengangkutan dan penghantaran yang kebanyakannya menggunakan kenderaan diesel.

Terdahulu, media juga melaporkan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mengakui telah terkesan dengan kenaikan kos operasi industri makanan dan minuman, dengan peningkatan harga barangan dianggarkan antara 10 hingga 30 peratus.

Sehubungan itu, KPDN memaklumkan akan memanggil persatuan itu bagi mendapatkan penjelasan terperinci berhubung dakwaan kenaikan kos operasi industri restoran antara 10 hingga 30 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN