Saham2u tawar pembiayaan bercagar saham patuh syariah

Saham2u tawar pembiayaan bercagar saham patuh syariah secara digital

NOOR Hazimah Sain ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Sultan Ismail, di sini baru-baru ini – Utusan/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sentosa Jaya Capital Sdn. Bhd. melalui platform terbaharu, Saham2u menawarkan kemudahan pembiayaan bercagar saham patuh syariah secara digital kepada pemegang saham tersenarai di Bursa Malaysia, membolehkan mereka memperoleh tunai segera sehingga 50 peratus daripada nilai pegangan tanpa perlu menjual aset saham yang dimiliki. 

Pengarah Operasi Saham2u, Noor Hazimah Sain berkata, platform yang dilancarkan pada September 2024 itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Wira M. Noor Azman Taib di Menara Kuala Lumpur.

“Melalui Saham2u, pelabur boleh mendapatkan tunai dengan cepat dan mudah. Permohonan dilakukan sepenuhnya secara atas talian, manakala perjanjian ditandatangani secara digital melalui kerjasama dengan Trustgate.

“Keistimewaannya, peminjam tetap mengekalkan hak manfaat terhadap saham mereka seperti penerimaan dividen dan tindakan korporat walaupun ia dijadikan cagaran,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Setakat ini, lebih 1,000 peminjam telah menggunakan platform tersebut, menunjukkan permintaan tinggi terhadap pembiayaan bercagar saham. 

Sebelum peralihan kepada digital, Sentosa Jaya Capital berjaya menarik lebih 1,000 peminjam setahun dengan jumlah pembiayaan melebihi RM10 juta secara manual.

Noor Hazimah menjelaskan, Saham2u tidak menilai kelayakan berdasarkan rekod kredit seperti bank, sebaliknya menumpukan kepada tiga kriteria utama saham cagaran iaitu patuh syariah, boleh dicagarkan dan mempunyai tahap kecairan minimum yang ditetapkan.

Katanya, terdapat peminjam yang memanfaatkan kemudahan ini untuk mengembangkan portfolio pelaburan mereka atau memanfaatkan peluang pasaran, selain tujuan peribadi seperti pembiayaan modal perniagaan ketika pasaran saham merosot dan bantuan kecemasan perubatan ahli keluarga.

“Proses kelulusan adalah dengan kadar segera dan pembayaran pembiayaan akan dilakukan dalam masa 48 jam setelah saham yang dicagarkan itu dkreditkan ke dalam Sistem Depositori Pusat (CDS) akaun syarikat berbanding dengan institusi kewangan lain, sekali gus memudahkan pelabur membuat keputusan pantas tanpa terikat dengan prosedur rumit,” ujarnya. 

Mengulas peranan platform itu dalam inovasi kewangan negara, Noor Hazimah berkata, Saham2u menyokong agenda digitalisasi selaras dengan Malaysia Digital dan Pelan Induk Pasaran Modal.

“Sebagai platform patuh syariah dan mesra digital, kami mahu memperkasa pelabur tempatan dan memajukan sektor kewangan negara. Kami juga merancang memperkenalkan aplikasi mudah alih dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, Saham2u menyasarkan untuk menerajui pembiayaan bercagar saham patuh syariah di Malaysia, mengembangkan operasi ke peringkat serantau serta bekerjasama dengan syarikat besar dan broker saham tempatan.

“Matlamat kami adalah menjadi platform utama pelabur untuk mendapatkan pembiayaan segera sambil mengekalkan nilai pelaburan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan pasaran modal negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN