JASIN: Sebutir bom lama era Perang Dunia Kedua seberat 227 kilogram (kg) ditemukan di tapak Projek Golden Valley, Kampung Air Panas Bemban di sini, petang semalam ketika kerja-kerja pengorekan tanah sedang dijalankan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert, berkata, pihaknya menerima panggilan telefon berhubung penemuan objek itu kira-kira pukul 3 petang daripada seorang pekerja tapak projek berusia 52 tahun.
“Pengadu memaklumkan telah menjumpai satu objek mencurigakan ketika menjalankan kerja mengorek tanah di kawasan tapak projek berkenaan.
“Bertindak atas maklumat itu, pihak polis segera menggerakkan pasukan ke lokasi untuk pemeriksaan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal yang dijalankan Unit Persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin mengesahkan objek tersebut merupakan bom jenis ‘Aerial Bomb’ seberat 500 paun (227 kg).
“Pemeriksaan mendapati bom itu masih aktif, berada dalam keadaan berkarat serta mempunyai lilitan antara 27 hingga 36 sentimeter (cm) dengan panjang kira-kira 45 inci (114.3 cm).
“Bom berkenaan dijadualkan untuk dimusnahkan pada 15 Januari ini, kira-kira pukul 8 pagi mengikut Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN









