Saham NexG kembali positif setelah menjunam 30% semalam

Saham NexG kembali positif setelah menjunam 30% semalam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: NexG Bhd. kembali positif hari ini walaupun masih didagangkan rendah berbanding hari-hari sebelumnya selepas harga sahamnya menjunam hampir 30 peratus dan kehilangan lebih setengah bilion ringgit daripada modal pasaran pada 11 Ogos 2025.

Tindakan pemegang saham bertindak melepaskan saham dipercayai sebagai tanda protes terhadap langkah pembekal MyKad itu memperoleh pegangan besar dalam Classita Holdings Bhd.

Sehingga 12.29 tengahari tadi, saham NexG naik 5.33 peratus kepada 40 sen sesaham.

Bagaimanapun, harga saham syarikat pembinaan Classita terus melonjak kepada 10 sen sesaham, paras tertinggi yang kali terakhir dicapai dua tahun lalu.

BIMB Research yang ersikap berhati-hati terhadap pengambilalihan ekuiti Classita bernilai RM77 juta, menurunkan penarafan NexG kepada ‘jual’, sambil menegaskan nisbah risiko-pulangan semasa sudah menjadi tidak menarik.

“Kami percaya pelabur perlu berwaspada terhadap sifat pengiktirafan pendapatan hartanah yang perlahan, kerumitan integrasi serta bebanan kepelbagaian bukan teras.

“Kami mengekalkan harga sasaran pada 45 sen,” kata firma penyelidikan itu dalam nota awal pagi kepada pelanggan semalam. 

Penilaian itu dibuat sebelum harga saham NexG jatuh ke 37.5 sen pada penutupan pasaran semalam, menjadikannya kaunter kedua paling rugi di Bursa Malaysia.

BIMB Research berpandangan ‘neutral’ terhadap kemasukan NexG ke dalam Classita memandangkan impak pendapatan jangka pendek adalah minimum, manakala risiko pelaksanaan jangka panjang kekal tinggi berikutan rekod prestasi Classita yang tidak menentu.

Pada 8 0gos lalu, NexG yang sebelum ini dikenali sebagai Datasonic Group Bhd. mengumumkan pengambilalihan pegangan 32.61 peratus dan 414.31 juta waran C dalam Classita bernilai RM76.78 juta.

Dengan pengambilalihan ini, NexG muncul sebagai pemegang saham terbesar tunggal Classita, sekali gus menandakan kemasukan syarikat itu ke dalam sektor pembinaan dan pembangunan hartanah.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif NexG, Datuk Hanifah Noordin berkata, langkah memasuki sektor hartanah dan pembinaan adalah strategik dan tepat pada masanya bagi syarikat.

“Kami berhasrat memainkan peranan lebih aktif dan menonjol dalam pembangunan negara dengan memanfaatkan kekuatan kewangan, rangkaian kerajaan serta rekod pencapaian kami dalam projek kritikal negara untuk menyokong agenda perumahan dan infrastruktur negara.

“Kami melihat Classita sebagai padanan kukuh untuk aspirasi ini memandangkan kelayakan dan kesediaannya menyertai projek berkaitan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN