Reach Ten catat untung bersih RM9.4 juta suku kedua

Reach Ten catat untung bersih RM9.4 juta suku kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Reach Ten Holdings Berhad (Reach Ten) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM9.4 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25), meningkat 32.4 peratus berbanding RM7.1 juta pada suku pertama tahun kewangan 2025.

Penyedia perkhidmatan telekomunikasi berpangkalan di Sarawak itu berkata, hasil turut melonjak 16 peratus kepada RM26.8 juta daripada RM23.1 juta pada suku sebelumnya, didorong terutamanya oleh perkhidmatan komunikasi berasaskan satelit yang menyumbang 63 peratus daripada jumlah hasil, diikuti komunikasi gentian optik (24 peratus) serta infrastruktur telekomunikasi dan perkhidmatan terurus (13 peratus).

Pendapatan sesaham (EPS) meningkat kepada 0.94 sen berbanding 0.89 sen pada suku pertama, manakala keuntungan kasar meningkat kepada RM13.1 juta dengan margin 48.7 peratus. 

Margin bersih juga melebar kepada 35.2 peratus berbanding 30.9 peratus pada suku sebelumnya, mencerminkan keberkesanan strategi pelaksanaan dan kawalan kos.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (1HFY25), Reach Ten mencatatkan hasil sebanyak RM49.8 juta, keuntungan kasar RM24.5 juta dan keuntungan bersih RM16.6 juta dengan margin keuntungan kasar 49.2 peratus serta margin bersih 33.2 peratus.

Sehingga akhir Jun 2025, kedudukan kewangan kumpulan kekal kukuh dengan tunai, baki bank dan deposit berjumlah RM172.6 juta, manakala aset bersih sesaham berada pada paras RM0.21.

Pengarah Urusan Reach Ten, Leo Chin berkata, prestasi suku kedua itu mencerminkan daya tahan model perniagaan syarikat serta permintaan yang semakin meningkat terhadap infrastruktur komunikasi mereka.

“Kami berbesar hati dengan pencapaian ini kerana ia membuktikan keberkesanan strategi pelaksanaan yang berdisiplin dan pengurusan kos yang baik,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata syarikat kini menumpukan kepada penembusan sektor maritim dan minyak & gas (O&G) dengan perkhidmatan satelit Starlink dijangka menjadi pemacu utama dalam memenuhi permintaan terhadap capaian internet yang lebih meluas dan boleh dipercayai.

“Diversifikasi strategik ini akan memperluas pangkalan pelanggan, mengukuhkan aliran pendapatan berulang serta menyokong pertumbuhan jangka panjang. Dengan infrastruktur kukuh dan strategi yang jelas, kami yakin dapat mengekalkan momentum ini sekali gus memberikan nilai lebih besar kepada pemegang saham,” tambahnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN