Raqtive perkasa wanita Islam jalani gaya hidup sihat

Raqtive perkasa wanita Islam jalani gaya hidup sihat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Raqtive Resources Sdn. Bhd. menjadi antara peneraju dalam pasaran tudung sukan tempatan dengan visinya untuk memperkasakan wanita Islam yang menjalani gaya hidup aktif tanpa menjejaskan nilai mereka.

Eksekutif Jualan dan Pemasaran, Bella Razib berkata, jenama tersebut diasaskan oleh pasangan suami isterinya iaitu Mohd Azmil Mahayuddin dan Prof. Dr. Nurul Shahnaz Ahmad Mahdzan bermula secara kecil-kecilan di rumah pada 2012 sebelum diperbadankan kepada Sdn. Bhd. pada 2016.

Katanya,  idea mengeluarkan tudung sukan tercetus ketika pasaran Malaysia masih kekurangan produk khusus bagi wanita beragama Islam yang aktif bersukan.

“Reka bentuk asal menggunakan kemasan piping di tepi bagi memastikan tudung kekal terletak ketika berlari, selain diperbuat daripada fabrik microfiber teknologi quick dry.

“Selain itu, reka bentuk tersebut telah didaftarkan sebagai tanda dagangan berdasarkan lakaran asal dari 2012. Ini sebagai usaha kami untuk menjaga harta interlek (IP) kami dalam pasaran supaya pelanggan tidak tertipu kerana ada banyak yang meniru reka bentuk yang sama,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Bella berkata, selepas pandemik Covid-19, pasaran Raqtive berkembang kepada segmen pelajar sekolah apabila salah seorang ejen aktif mempromosikan produk di sekolah dan pasukan sukan.

“Langkah itu membawa kepada penajaan kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) pada 2024, termasuk sukan hoki dan bola jaring.

“Syarikat kini mempunyai lebih 20 ejen di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, selain pasaran luar negara seperti Singapura, Mauritius dan United Kingdom (UK),” ujarnya.

Menurutnya, walaupun 80 peratus jualan diperoleh melalui platform dalam talian, ejen fizikal masih dianggap penting bagi meningkatkan kesedaran jenama dan memberi peluang pelanggan merasai produk secara langsung.

Bagaimanapun, Bella mengakui kehadiran platform seperti TikTok membawa cabaran apabila sesiapa sahaja boleh menjadi rakan niaga affiliate tanpa memegang stok, sekali gus memberi saingan kepada ejen berdaftar.

“Bagi mengekalkan motivasi ejen, syarikat menawarkan insentif jualan berdasarkan pencapaian,” jelasnya.

Tambahnya, Raqtive kini menawarkan lebih 50 unit penyimpanan stok (SKU) dalam dua kategori utama iaitu instant shawl dan semi-instant, di samping barangan merchandise seperti pakaian wanita, semuanya dihasilkan 100 peratus di Malaysia.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN