Pro-Net perkenal e.MAS 5 menerusi Jelajah MISI 5

Pro-Net perkenal e.MAS 5 menerusi Jelajah MISI 5

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (Pro-Net), anak syarikat milik penuh Proton melancarkan Jelajah MISI 5, inisiatif promosi di seluruh negara bagi memperkenalkan model kenderaan elektrik (EV) terbaharu, e.MAS 5.

Model kedua dalam barisan e.MAS itu dijadualkan menjelajah lima wilayah utama meliputi Lembah Klang, Utara, Selatan, Pantai Timur serta Sabah dan Sarawak bermula Ogos hingga Oktober 2025, sebagai persediaan sebelum pelancaran rasminya hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, jelajah berkenaan bertujuan memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat serta merasai sendiri pengalaman pemanduan e.MAS 5 menerusi pratonton eksklusif yang diadakan di lokasi pelancongan terpilih dan bilik pameran Proton e.MAS di 13 negeri.

“e.MAS 7 merupakan EV paling laris di Malaysia setakat ini. Kami yakin, pendekatan terbaik untuk membina keyakinan terhadap e.MAS 5 adalah dengan membawa kereta ini terus kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, melalui Jelajah MISI 5, orang ramai bukan sahaja dapat mendekati model terbaharu itu, malah berpeluang berinteraksi bersama pakar produk serta pempengaruh tempatan.

Mengulas lanjut, Zhang Qiang berkata, e.MAS 5 direka khusus bagi memenuhi keperluan gaya hidup pengguna bandar, terutamanya generasi muda, keluarga moden serta individu yang ingin beralih kepada kenderaan elektrik.

“Dengan ruang dalaman yang luas dan praktikal serta ciri pintar seperti kawalan pra-penyejukan dan perancangan pengecasan, e.MAS 5 direka untuk memudahkan kehidupan harian pengguna,” ujarnya.

Tambah beliau, antara kelebihan e.MAS 5 termasuk sokongan pengecasan pantas sehingga 80 peratus, teknologi keselamatan terkini dan fleksibiliti ruang untuk pelbagai keperluan, sama ada untuk barangan harian, percutian keluarga mahupun urusan kerja di kota. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN