PETALING JAYA: Planworth Global Factoring Sdn Bhd (Planworth) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia (NEF) bagi memperluas akses pembiayaan kepada usahawan bumiputera, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor teknologi dan digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Planworth, Datuk Andy Kuek berkata, kerjasama strategik itu selaras dengan agenda pembangunan ekonomi digital negara dan diyakini mampu membantu usahawan bumiputera mendapatkan pembiayaan alternatif yang lebih pantas serta inklusif.
Jelasnya, kerjasama tersebut bukan sekadar mengukuhkan kedudukan usahawan bumiputera, malah mengukuhkan peranan Planworth sebagai rakan pembiaya yang dipercayai.
“Pelanggan kami bukan hanya peminjam, sebaliknya rakan strategik. Melalui kerjasama dengan NEF, ahli persatuan dapat menerima pembayaran lebih cepat, memperkukuh kedudukan kewangan serta meningkatkan keyakinan untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, Planworth menyasarkan suntikan pembiayaan sehingga RM800 juta tahun ini, dengan lebih RM400 juta telahpun disalurkan setakat ini.
“Kami berpegang pada prinsip tanpa cagaran, kadar telus serta tempoh pinjaman fleksibel. Sekitar 500 usahawan dijangka menerima manfaat daripada pembiayaan ini,” tambahnya.
Sementara itu, Presiden NEF, Lilyana Latiff pula menyifatkan langkah itu sebagai strategi penting memastikan usahawan bumiputera ICT kekal berdaya saing dalam landskap ekonomi digital yang semakin mencabar.
“NEF membantu ahli mendapatkan akses kewangan dan memberi pendedahan mengenai pilihan pembiayaan alternatif termasuk pemfaktoran. Dengan kos industri ICT yang terus meningkat, terutama dalam projek berasaskan kecerdasan buatan (AI), modal awal yang besar amat diperlukan.
“Kami mahu pastikan ahli tidak ketinggalan hanya kerana kekurangan dana. Dengan rangkaian lebih 1,000 syarikat bumiputera dalam industri, NEF akan menapis projek yang layak manakala Planworth menyediakan pembiayaan lebih cepat dan mudah berbanding institusi tradisional,” katanya.
Planworth yang beroperasi sepenuhnya dengan modal sendiri, merupakan peneraju pembiayaan alternatif utama negara, khususnya bagi kontraktor kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta.
Dengan lebih 11 tahun pengalaman, syarikat itu menawarkan pembiayaan prainvois, pascainvois, pusingan kredit dan rantaian bekalan, sekali gus diiktiraf sebagai pembiaya alternatif nombor satu di Malaysia bagi menyokong pertumbuhan perniagaan tempatan.-UTUSAN