Pembangunan Semula Taman Ikan Emas sasar siap fasa pertama Julai 2026

Pembangunan Semula Taman Ikan Emas sasar siap fasa pertama Julai 2026

DATUK Seri Dr. Zaliha Mustafa (tiga dari kiri), Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (empat dari kiri), Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif (empat dari kanan) dan Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh (tiga dari kanan) dalam lawatan tapak MMC Corporation Berhad ke Projek Pembangunan Semula Bandar Terbesar Kuala Lumpur di Cheras di sini, semalam. UTUSAN/ ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Fasa pertama projek pembangunan semula Taman Ikan Emas di Bandar Tun Razak, Cheras yang dinamakan Residensi Lestari akan melibatkan pembinaan 1,192 unit pangsapuri berkeluasan 850 kaki persegi dan dijangka siap pada Julai 2026.

Pembangunan itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik Awam-Swasta antara Retro Highland Sdn. Bhd. (RHSB) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL).

Sehingga Julai lalu, kemajuan kerja pembinaan Fasa 1C telah mencapai 71 peratus, melepasi sasaran perancangan 70 peratus.

Projek berkeluasan kira-kira 145 ekar itu secara keseluruhan merangkumi 5,650 unit kediaman di bawah skim Quality Sustainable People Housing (QSPH), termasuk pembaharuan semula skim perumahan awam lama seperti Sri Pulau Pinang, Sri Melaka, Sri Johor dan Taman Ikan Emas sendiri.

Projek tersebut menyokong Inisiatif Kejiranan Madani kerajaan dengan memberi tumpuan kepada kehidupan bersepadu dan lestari, khususnya untuk kumpulan B40 serta komuniti rentan.

Dalam pada itu, antara objektif utama termasuk menggantikan flat usang dengan kawasan kediaman moden, meningkatkan keluasan ruang hidup daripada 350 hingga 400 kaki persegi kepada 850 kaki persegi serta menyediakan pelbagai kemudahan seperti surau, tadika, dewan, unit kedai dan pejabat pengurusan.

Selain kediaman, pelan induk turut merangkumi pembangunan zon komersial, dataran bandar ikonik, pembangunan berorientasikan transit serta infrastruktur moden dan kemudahan awam.

Pembangunan itu turut dijangka bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup penduduk, malah memacu pemulihan ekonomi tempatan, memupuk perpaduan komuniti dan memastikan kelestarian bandar jangka panjang. 

Dari segi akses, Taman Ikan Emas mempunyai kedudukan strategik dengan sambungan terus ke Jalan Sri Permaisuri, Jalan Yaacob Latif, Jalan Loke Yew dan Jalan Cheras.

Lokasi tersebut turut berhampiran kemudahan utama seperti MyTOWN Shopping Centre hanya 3.3 kilometer (km), Sunway Medical Centre Velocity (3.0 km), HUKM (2.7 km), Aeon Taman Maluri (2.7 km) serta EkoCheras Mall (6.4 km). 

Projek berkenaan juga dilengkapi ciri mesra alam termasuk Tangki Penuaian Air Hujan (RWHT), Tangki Takungan Di Tapak (OSD), penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) serta bahan binaan hijau.

Dari aspek keselamatan, kawasan itu akan dilengkapi pagar anti-panjat.

Penyediaan infrastruktur moden ini bertujuan menggantikan aset lama yang sudah tamat tempoh, sekali gus menjadikan Taman Ikan Emas destinasi kediaman utama yang lebih seimbang, holistik dan mampan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN