PETALING JAYA: Pelabur asing meneruskan trend jualan bersih mereka untuk enam minggu berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM566.1 juta minggu lalu, menurut MBSB Investment Bank Bhd.
Bank pelaburan berkata, ini menandakan pengurangan sebanyak 50.0 peratus berbanding aliran keluar minggu sebelumnya sebanyak RM1.14 bilion.
“Pelabur asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan, dengan aliran keluar harian antara RM94.0 juta hingga RM167.4 juta.
“Aliran keluar terbesar direkodkan pada hari Jumaat, diikuti oleh Khamis (RM103.5 juta), Selasa (RM101.5 juta) dan Isnin (RM99.8 juta), manakala hari Rabu mencatatkan aliran keluar terkecil,” katanya dalam satu nota aliran tunai.
Sementara itu, tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk bersih asing tertinggi minggu lalu adalah perladangan (RM77.7 juta), hartanah (RM52.7 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM42.2 juta)
“Tiga sektor yang mencatatkan aliran keluar bersih asing tertinggi ialah utiliti (RM209.5 juta), telekomunikasi dan media RM185.5 juta), penjagaan kesihatan (RM152.7 juta),” katanya.
Selain itu, institusi tempatan meneruskan pembelian bersih mereka untuk tiga minggu berturut-turut, mencatatkan pembelian sebanyak RM760.5 juta.
Sementara itu, pelabur runcit tempatan beralih menjadi penjual bersih, menamatkan lima minggu berturut-turut sebagai pembeli, dengan aliran keluar bersih sebanyak RM194.4 juta.
“Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan menyeluruh minggu lalu kecuali untuk pelabur runcit tempatan,” katanya
Pelabur asing dan institusi tempatan mencatatkan peningkatan sebanyak 1.50 peratus dan 8.90 peratus masing-masing.
“Manakala pelabur runcit tempatan mencatatkan penurunan sebanyak 3.0 peratus,” katanya. – UTUSAN