PASARAN rumah subsale sering menjadi pilihan pembeli kerana lokasinya yang matang, kemudahan sedia ada dan harga yang lebih fleksibel berbanding rumah baharu.
Namun, memilih waktu yang sesuai untuk membeli rumah jenis ini boleh memberi perbezaan besar dari segi harga, kelulusan pinjaman dan pulangan jangka panjang.
Pada minggu ini, Ringgit berkongsi panduan bila waktu paling sesuai untuk membeli rumah di pasaran sekunder supaya anda dapat merancang pembelian dengan lebih bijak dan untung.
OPR rendah, ansuran pun turun
Apabila Bank Negara Malaysia menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), kadar faedah pinjaman perumahan juga akan turun dan ini memberi kesan langsung kepada jumlah ansuran bulanan anda.
Waktu ini sesuai untuk membeli rumah kerana anda dapat menjimatkan ribuan ringgit sepanjang tempoh pinjaman.
Jika anda sudah bersedia dari segi deposit dan dokumen, bertindak cepat boleh memberi kelebihan sebelum kadar naik semula.
Rumah lama dalam pasaran boleh dirunding harga
Rumah yang telah lama berada dalam pasaran biasanya menunjukkan pemilik sudah sedia untuk berunding, terutamanya jika rumah tersebut tidak mendapat sambutan.
Dalam keadaan ini, pembeli boleh tawar-menawar untuk dapatkan harga lebih rendah, atau dapat kelebihan lain seperti perabot percuma atau pemilik tanggung kos pindah milik.
Ia juga memberi anda lebih ruang untuk menilai keadaan rumah secara menyeluruh tanpa tekanan.
Beli ketika permintaan rendah, saingan kurang
Musim perayaan, hujung tahun atau ketika ekonomi perlahan selalunya menyaksikan permintaan rumah menurun.
Ini adalah masa sesuai untuk mencari rumah kerana kurang persaingan daripada pembeli lain dan ejen atau pemilik lebih terbuka untuk berbincang harga.
Anda juga berpeluang dapat unit yang baik tanpa perlu berebut atau menawar terlalu tinggi.
Semasa ekonomi perlahan, lebih banyak pilihan murah
Ketika ekonomi tidak menentu, ramai pemilik mungkin ingin menjual rumah dengan segera kerana tekanan kewangan.
Ini membuka peluang kepada pembeli tunai atau yang sudah lulus pinjaman untuk membeli rumah dengan harga lebih rendah daripada biasa.
Walau bagaimanapun, pastikan anda tetap semak nilai pasaran dan tidak tergesa-gesa buat keputusan.
Elak beli selepas umum projek infrastruktur besar
Jika terdapat pengumuman tentang projek besar seperti lebuh raya atau laluan MRT baharu, biasanya harga rumah di kawasan terlibat akan melonjak kerana spekulasi.
Elakkan beli pada masa ini kerana harga mungkin belum stabil dan anda berisiko membayar lebih daripada nilai sebenar.
Tunggu sehingga pasaran kembali seimbang dan nilai sebenar lebih jelas sebelum buat keputusan.
Beli bila anda betul-betul sedia dari sudut kewangan
Sebagus mana pun masa pasaran, ia tidak berguna jika kewangan anda belum bersedia.
Pastikan anda sudah kumpul deposit, stabil dari segi pendapatan, dan layak dari sudut kelulusan pinjaman.
Membeli rumah dalam keadaan tergesa-gesa hanya akan menjerat anda dalam komitmen yang membebankan.
Membeli rumah bukan hanya tentang waktu pasaran yang baik, tetapi juga sejauh mana anda bersedia dari sudut kewangan, maklumat dan kesabaran agar pembelian yang dibuat menjadi satu langkah ke hadapan, bukan beban masa depan.-UTUSAN