NOBA yakin pensijilan halal perluas capaian pasaran global

NOBA yakin pensijilan halal perluas capaian pasaran global

NOBA telah berada dalam industri selama lebih 25 tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Industri Keropok Dunia, syarikat pemprosesan makanan sejuk beku tempatan yang membawa jenama NOBA, terus memperkukuh kedudukan dalam industri dengan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

NOBA, yang mula dikenali melalui produk keropok lekor, popia otak-otak mini dan sos pencicah telah bertapak dalam industri selama lebih 25 tahun. 

Nama NOBA itu sendiri membawa maksud istimewa, diambil sempena nama pengasasnya, Noor­din Hashim serta isterinya, Bakiah Sarijan.

Beroperasi dari premis Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Shah Alam dan kini turut mempunyai kilang pemprosesan lebih besar di Chemor, Perak, syarikat ini memfokuskan kepada pasaran eksport sambil mengekalkan rasa asli dan kualiti produk tradisional.

Pengurus Operasi NOBA, Alifa Hanida Jumahari berkata, sijil halal memainkan peranan penting dalam memacu kepercayaan pengguna serta membuka peluang lebih luas untuk pengembangan pasaran.

“Proses mendapatkan sijil halal ini memerlukan dokumentasi lengkap termasuk senarai ramuan, pembekal, pelan lantai kilang serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Kami perlu menjalankan audit dalaman dahulu sebelum memohon melalui sistem e-Halal Jakim. Seterusnya, audit oleh pihak Jakim atau badan pensijilan halal diiktiraf akan dijalankan ke atas premis kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Alifa, sejak memperoleh sijil halal pertama pada tahun 2005, NOBA telah memperbaharuinya sebanyak 10 kali dan terus memastikan semua prosedur serta rekod dokumentasi dikemas kini secara berkala.

“Sijil halal ini bukan hanya keperluan dokumentasi, ia mencerminkan komitmen kami terhadap integriti produk, kebersihan, pematuhan syariah dan kepercayaan pengguna bukan sahaja dalam negara, tetapi juga pasaran luar,” ujarnya.

Alifa berkata, impak terhadap perniagaan selepas mendapat sijil halal sangat ketara dengan peningkatan permintaan, kemasukan ke pasar raya utama serta permintaan dari pemborong dalam dan luar negara yang meletakkan sijil halal sebagai syarat wajib.

Antara cabaran utama dalam mengekalkan pensijilan itu adlah memastikan setiap ramuan dan pembekal bahan mentah memiliki sijil halal yang sah serta mengekalkan sistem dokumentasi yang teratur dan terkini.

“Latihan berterusan kepada pekerja juga penting agar mereka memahami dan mengamalkan prosedur halal dari segi pengendalian makanan, kebersihan serta etika kerja,” tambahnya.

NOBA kini merancang memperluas pasaran ke negara-negara Asia Barat dan lain-lain rantau Islamik selepas kejayaan menembusi Brunei dan Singapura.

Usaha ini turut disokong dengan proses menaik taraf sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) kepada pensijilan tambahan seperti Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).

“Sijil halal memberikan kepercayaan pelanggan, membezakan jenama kami daripada pesaing serta selamat dan diyakini dari sudut syarak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN