KUALA LUMPUR: Ninja Van Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju logistik apabila melancarkan 44 laluan penghantaran antarabangsa baharu yang menjadikan jumlah destinasi syarikat itu kini mencecah 46 lokasi di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lin Zheng berkata, pengembangan itu sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab logistik mesra perniagaan dengan menawarkan kaedah penghantaran rentas sempadan yang lebih mudah, mampu milik dan dipercayai.
“Bersama laluan sedia ada ke Singapura dan Filipina, kini kami berkhidmat ke 46 destinasi global, menjadikan ia antara rangkaian logistik yang paling mudah dicapai oleh jenama tempatan.
“Dalam landskap e-dagang yang pesat berkembang hari ini, setiap usahawan dan perniagaan tempatan berhak mendapat perkhidmatan profesional, bukan sahaja di dalam negara malah merentasi Asia Pasifik, Amerika Utara, Amerika Latin, Asia Barat dan Eropah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran itu Menara KEN TTDI, Taman Tun Dr Ismail, semalam.
Tambah beliau, masih banyak perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdepan cabaran kos penghantaran antarabangsa yang tinggi, prosedur kastam rumit dan infrastruktur terhad.
“Inilah sebabnya penyelesaian rentas sempadan baharu kami direka agar lebih lancar, mampu milik dan boleh dipercayai, dengan kadar bermula serendah RM30 iaitu 50 peratus lebih rendah berbanding kebanyakan penyedia lain serta tempoh penghantaran antara tujuh hingga 12 hari,” tambahnya.
Sementara itu, Naib Presiden Serantau, Ninja Van Rentas Sempadan, Jeremy Hong berkata, pelancaran laluan baharu itu akan memberi peluang besar kepada jenama Malaysia untuk berkembang di pentas global.
“Dunia kini bukan lagi sesuatu yang di luar jangkauan jenama Malaysia. Dengan 44 laluan antarabangsa baharu ini, kami menawarkan cara praktikal dan kos efektif untuk perniagaan tempatan memasuki pasaran baharu, membina pangkalan pelanggan global dan berkembang dengan yakin.
“Matlamat kami ialah ingin menghapuskan halangan dalam logistik rentas sempadan supaya perniagaan boleh menumpukan kepada perkara paling penting iaitu mencipta, berinovasi dan berkembang tanpa had,” katanya. – UTUSAN










