PETALING JAYA: AmInvestment Bank Berhad menjangkakan inventori sawit akan mencapai paras tertinggi pada Ogos atau September dan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) akan mula berkurangan bermula Oktober disebabkan faktor bermusim.
Bank pelaburan berkata, sehubungan itu, pihaknya percaya harga MSM akan kekal disokong melebihi paras RM4,000 setan sehingga akhir Mac 2026.
Katanya, statistik sawit bagi Julai 2025 oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan inventori minyak sawit Malaysia meningkat empat peratus kepada 2.1 juta tan pada Julai berbanding 2 juta tan pada Jun.
“Angka ini lebih rendah daripada anggaran konsensus Bloomberg sebanyak 2.2 juta tan. Peningkatan bulanan dalam stok sawit pada Julai terutamanya didorong oleh kenaikan 7.1 peratus dalam pengeluaran.
“Pengeluaran MSM meningkat 7.1 peratus kepada 1.8 juta tan pada Julai berbanding 1.7 juta tan pada Jun. Namun begitu, secara tahunan, pengeluaran MSM Malaysia hanya naik sedikit sebanyak 0.6 peratus kepada 10.8 juta tan dalam tempoh tujuh bulan pertama 2025.
“Kami mengaitkan pertumbuhan kecil ini dengan keadaan cuaca yang tidak menggalakkan pada suku pertama tahun ini. MPOB menjangkakan pengeluaran MSM negara sebanyak 19.5 juta tan pada 2025 berbanding 19.3 juta tan pada 2024,” katanya dalam nota penyelidikan.
AmInvestment Bank mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor perladangan kerana syarikat perladangan besar dijangka terkesan dengan margin hiliran yang lemah.
“Kami mengekalkan saranan ‘beli’ bagi syarikat yang lebih fokus seperti Johor Plantations Group dengan harga sasaran (TP) RM1.67 sesaham, Kim Loong Resources (TP: RM2.75) dan TSH Resources (TP: RM1.38).
“Andaian purata harga MSM kami bagi 2025 kekal tidak berubah pada RM4,250/tan (tujuh bulan pertama 2025: RM4,350/tan),” jelasnya.
Sementara itu, Phillip Capital menjangkakan stok simpanan sawit kekal meningkat dalam tempoh terdekat, berkemungkinan sehingga September dan Oktober 2025, dengan potensi pengeluaran terhad kepada permintaan semula stok dari India menjelang Deepavali.
Firma penyelidikan mengunjurkan pasaran minyak sayuran kekal tidak menentu, mencerminkan ketidaktentuan yang berterusan dalam sektor pertanian dan keadaan makro global.
“Harga MSM diunjurkan didagangkan dalam lingkungan RM3,900 hingga RM4,300 setan pada suku ketiga 2025, dengan purata separuh kedua 2025 pada RM4,000 setan.
“Walaupun sokongan jangka pendek untuk harga MSM mungkin berpunca daripada penyimpanan semula perayaan dan daya saing harga yang lebih baik, kami tetap berhati-hati.
“Ini memandangkan turun naik pasaran yang meningkat, bekalan minyak makan yang meningkat, paras saham yang lebih tinggi dan risiko makroekonomi yang lebih luas, termasuk potensi gangguan perdagangan,” jelasnya.
Phillip Capital mengulangi pendirian ‘neutral’ terhadap sektor perladangan, mengekalkan unjuran harga MSM 2025 dan 2026 masing-masing pada RM4,100 dan RM4,000 setan.
“Untuk pendedahan sektor, kami menyukai SD Guthrie dengan saranan ‘beli’ pada harga sasaran (TP) RM5.21 dan Sarawak Plantation (beli; TP: RM2.88) untuk operasi huluan berskala dan kunci kira-kira kukuh mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, RHB Investment Bank Bhd. menjangkakan keputusan suku kedua 2025 sebahagian besarnya sejajar kerana output yang lebih kukuh akan diimbangi oleh penyederhanaan harga MSM.
“Di Malaysia, output sawit meningkat bulan ke bulan, mendorong inventori sawit kepada 2.11 jtuta tan pada bulan Julai, menjadikan nisbah stok/penggunaan melebihi purata sejarah.
“Pengeluaran sawit harus terus meningkat menjelang musim puncak, dengan permintaan juga bertambah baik, kerana harga MSM kini berada pada diskaun yang besar berbanding pesaingnya,” katanya.
Tambahnya, bank pelaburan mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor tersebut. – UTUSAN









