Matrade komited sasar eksport RM2.09 trilion menjelang 2030

Matrade komited sasar eksport RM2.09 trilion menjelang 2030

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) komited dalam menyokong sasaran pertumbuhan eksport kasar negara pada kadar purata 5.8 peratus setahun, dengan matlamat mencapai RM2.09 trilion menjelang 2030.

Agensi berkata, usaha tersebut akan dipacu menerusi penyertaan pameran perdagangan antarabangsa, padanan perniagaan, promosi perdagangan digital serta penjenamaan produk ‘Made by Malaysia’ di pasaran utama dan pasaran baharu.

Menurut Matrade, pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dilihat mengiktiraf peranan penting perdagangan luar, khususnya sektor eksport, sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara ke arah status negara berpendapatan tinggi.

“Sebagai agensi promosi perdagangan utama negara, Matrade akan terus memperkukuh jaringan dagang global dan memberi fokus kepada sektor berimpak tinggi yang selari dengan prinsip Ekonomi Madani.

“Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai tulang belakang ekonomi negara akan digerakkan bagi mencapai pertumbuhan eksport antara enam hingga tujuh peratus sepanjang RMK13.

“Usaha ini disokong menerusi program pemadanan eksport, bimbingan pasaran antarabangsa serta latihan pembangunan kapasiti termasuk seminar dan bengkel,” katanya dalam kenyataan.

Matrade sedang melaksanakan strategi menyeluruh untuk membangunkan eksport dalam sektor industri pertumbuhan tinggi bernilai tinggi (HGHV) seperti elektrik dan elektronik (E&E), animasi dan permainan digital, halal, pertanian moden, perkhidmatan global dan francais.

“Tumpuan turut diberi kepada promosi produk bernilai tinggi, pemerkasaan harta intelek (IP) dan penjenamaan global bagi meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Dalam memperluas pasaran eksport, Matrade akan menumpukan kepada wilayah berpotensi tinggi seperti Amerika Selatan, Afrika, Asia Barat dan Eropah Timur, termasuk menerusi peningkatan penyertaan dalam perjanjian perdagangan bebas, program padanan perniagaan serta misi akselerasi eksport.

“Matrade turut merangka Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (NTBP) 2.0 yang bakal menjadi dokumen hala tuju strategik baharu dalam memperkukuh ekosistem eksport negara. Ia merangkumi pendigitalan proses perdagangan, penerapan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta pemudahcara eksport PMKS,” katanya

Sementara itu, Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, keutamaan akan diberi kepada memperkukuh daya saing eksport menerusi pemerkasaan PMKS, penerokaan pasaran baharu serta penyesuaian kepada landskap perdagangan global yang lebih kompleks.

“Matrade menyambut baik dasar ekonomi negara yang diumumkan kerajaan. Inisiatif yang dilaksanakan akan diselaraskan dengan aspirasi RMK13, termasuk mengadaptasi teknologi digital dan amalan perniagaan lestari,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Seri Mohd. Mustafa Abdul Aziz berkata, program promosi eksport memberi keutamaan kepada sektor seperti E&E, halal, digital, pertanian, francais dan perkhidmatan dengan sokongan daripada rangkaian pejabat Matrade di luar negara.

“Matrade kekal komited menyokong agenda nasional untuk menjadikan Malaysia sebagai negara perdagangan berpendapatan tinggi, serta menyumbang kepada pengukuhan rantaian nilai global,” ujarnya.

RMK13 yang bertemakan Melakar Semula Pembangunan di bawah kerangka Ekonomi MADANI turut memperkukuh aspirasi negara untuk meletakkan Malaysia sebagai antara 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2030. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN