PETALING JAYA: Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menawarkan Skim Pembiayaan Perumahan Muda (SPPM), bagi membantu penjawat awam muda memiliki kediaman pertama mereka dengan lebih berdaya mampu.
SPPM ditawarkan kepada penjawat awam berumur 30 tahun dan ke bawah, dengan kelayakan pembiayaan sehingga RM750,000 dan tempoh pembayaran balik sehingga 40 tahun atau sehingga umur 90 tahun. Skim ini akan mula dilaksanakan pada 1 April 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA, Mohd Farid Nawawi, menjelaskan bahawa fasa hebahan semula ini penting untuk memastikan kumpulan sasaran benar-benar cakna mengenai peluang yang tersedia.
“SPPM telah diumumkan dalam Belanjawan 2025, namun ramai penjawat awam muda masih belum sedar bahawa mereka berpeluang mendapat pembiayaan lebih panjang dan fleksibel untuk memiliki rumah pertama. LPPSA mahu pastikan maklumat ini sampai kepada semua yang layak, terutama generasi muda sektor awam,”
katanya.
Hebahan ini akan diperluas melalui platform digital, media sosial, sesi townhall, kolaborasi dengan agensi kerajaan serta media arus perdana agar maklumat SPPM dapat sampai kepada seramai mungkin penjawat awam muda di seluruh negara.
SPPM telah dilaksanakan pada 1 April 2025, dengan permohonan dibuka melalui portal rasmi LPPSA https://www.lppsa.gov.my/v3/my/ serta saluran digital yang sedia ada.
Dengan inisiatif ini, LPPSA yakin dapat memperkukuh agenda pemilikan rumah dalam kalangan penjawat awam muda, sekali gus menyokong usaha kerajaan meningkatkan kesejahteraan rakyat.










