LBS tawar pakej umrah bernilai RM100,000 untuk pembeli rumah

LBS tawar pakej umrah bernilai RM100,000 untuk pembeli rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemaju hartanah terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) memperkenalkan kempen khas bertemakan ‘Beli Rumah, Tunai Umrah’ yang menawarkan pakej umrah bernilai RM100,000 kepada pembeli rumah terpilih.

Kempen yang berlangsung dari 1 Julai hingga 31 Disember ini akan menyaksikan 12 pemenang bertuah dipilih dalam kalangan pembeli projek KITA Bestari (Rumah Bandar) dan KITA Sejati (Pangsapuri Servis) di perbandaran KITA @ Cybersouth.

Inisiatif tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Al Hijjrah Vacation Sdn. Bhd., sebuah agensi pelancongan bertauliah, bagi memastikan setiap pemenang menikmati perjalanan ibadah yang teratur, selesa dan penuh bermakna.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, pihaknya mahu memberi peluang kepada pelanggan untuk merealisasikan dua impian serentak iaitu memiliki kediaman impian serta menunaikan ibadah umrah.

“Melalui kempen ini, kami ingin menjadikan impian miliki rumah dan menunaikan umrah sebagai kenyataan buat pelanggan. Ia sejajar dengan matlamat LBS untuk menawarkan lebih daripada sekadar kediaman, iaitu gaya hidup yang penuh nilai,” katanya dalam kenyataan. 

Menurut LBS, KITA Bestari menampilkan rumah bandar berkeluasan 1,342 kaki persegi, dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan rekaan moden serta ruang dalaman luas, sesuai untuk keluarga muda.

Manakala, KITA Sejati menawarkan pangsapuri servis mampu milik dengan dua pilihan susun atur iaitu unit 602 kaki persegi (dua bilik tidur, dua bilik air) pada harga bermula RM270,000, serta unit 850 kaki persegi (tiga bilik tidur, dua bilik air) yang dilengkapi perabot bernilai RM30,000 pada harga bermula RM399,800.

Kedua-dua projek ini turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, gelanggang futsal, surau, dewan serbaguna dan kawalan keselamatan 24 jam. 

Lokasinya yang berhampiran Cyberjaya dan Putrajaya serta akses mudah ke lebuh raya utama menjadikannya pilihan strategik bagi golongan profesional.

Dalam pada itu, Pengurus Kanan Digital Media & CRM LBS, Nor Lydia Ayu Mohd Nor berkata, pembeli juga berpeluang menikmati pelbagai manfaat tambahan melalui program ‘LBS Perks & Plusses’. 

Menurutnya, program itu menawarkan rebat tunai, diskaun eksklusif serta ganjaran menarik yang direka untuk menyerikan lagi kediaman pelanggan.

“Inisiatif tersebut dilaksanakan untuk memberi nilai tambah kepada para pembeli, sekali gus memperkukuh komitmen LBS dalam menyediakan pengalaman pemilikan rumah yang lebih bermakna,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Al Hijjrah Vacation, Mohd. Azri Abd Razak menyifatkan kerjasama dengan LBS sebagai usaha yang memberi nilai tambah kepada masyarakat.

“Pembeli bukan sahaja berpeluang memiliki rumah impian, malah dapat merealisasikan impian menunaikan umrah. Inisiatif ini menggabungkan aspirasi kediaman dan kerohanian yang diyakini memberi impak positif kepada pelanggan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×