PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang meneliti cadangan kerajaan untuk memperkenalkan skim bayaran pencen secara bulanan kepada ahlinya seperti yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menurut KWSP, pihaknya mengambil maklum akan pertimbangan dasar tersebut dan sebarang keputusan hanya akan dimuktamadkan selepas sesi libat urus menyeluruh bersama pihak berkepentingan dilaksanakan, selain mengambil kira kepentingan jangka panjang pencarum.
“Buat masa ini, peraturan dan mekanisme pengeluaran KWSP kekal seperti sedia ada.
“Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan menerusi saluran rasmi KWSP dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan bahawa kerajaan akan meneroka satu mekanisme baharu bagi menjamin pendapatan berterusan selepas persaraan, susulan kebimbangan terhadap kelestarian simpanan persaraan rakyat.
Menurut laporan RMK13, antara langkah yang dicadangkan termasuklah pengasingan caruman KWSP kepada dua komponen utama, iaitu simpanan persaraan dan pencen persaraan.-UTUSAN