PETALING JAYA: Bagi setengah tahun pertama 2025, Kumpulan Public Bank mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM4.65 bilion yang merupakan pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2024.
Keuntungan bersih meningkat sebanyak 2.1 peratus kepada RM3.51 bilion pada tempoh yang sama.
Prestasi yang teguh itu dipacu oleh pertumbuhan hasil keseluruhan. Pendapatan faedah dan pembiayaan bersih meningkat sebanyak 4.1 perat kepada RM5.65 bilion.
Pendapatan bukan faedah dan bukan pembiayaan mencapai pertumbuhan dua digit iaitu sebanyak 17.5%, terutamanya didorong oleh pendapatan pelaburan, perniagaan pertukaran asing serta pendapatan fi dan komisen.
Pertumbuhan pendapatan bukan faedah dan bukan pembiayaan turut disumbang oleh pengambilalihan baharu perniagaan insurans am yang ditaja jamin oleh Kumpulan LPI Capital Bhd (“LPI”).
Pada akhir bulan Jun 2025, kualiti aset kekal stabil dengan nisbah pinjaman pengurangan nilai kasar pada 0.5% dan kos kredit pada 3 mata asas, jauh lebih baik berbanding dengan purata industri perbankan.
Perlindungan kerugian pinjaman berada pada tahap yang berhemat iaitu 153.9%, melebihi purata industri iaitu 90.5 peratus.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai EksekutifPublic Bank, Tan Sri Tay Ah Lek, berkata, walaupun berdepan dengan cabaran yang ketara, model perniagaan yang teguh dan pengurusan berhemat membolehkan Kumpulan terus menyelusuri rintangan. Perniagaan teras Kumpulan terus menunjukkan prestasi yang membanggakan, dengan pulangan ekuiti berada pada 12.6 peratus.
“Sementara pengurusan kos kekal berhemat dengan nisbah kos kepada pendapatan yang cekap pada 35.3 peratus.
“Dengan prestasi yang baik pada setengah tahun pertama 2025, Lembaga Pengarah Public Bank telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 10.5 sen sesaham berjumlah RM2.04 bilion yang merupakan nisbah pembayaran sebanyak 58.1 peratus daripada keuntungan bersih Kumpulan Public Bank bagi enam bulan berakhir pada 30 Jun 2025,” katanya.
Perniagaan Pinjaman dan Deposit
Bagi setengah tahun pertama 2025, jumlah pinjaman Kumpulan Public Bank meningkat pada kadar tahunan sebanyak 5.1%. Pinjaman domestik tahunan meningkat pada kadar yang lebih kukuh iaitu 6.1 peratus lebih tinggi berbanding dengan kadar pertumbuhan pinjaman tahunan industri perbankan domestik sebanyak 4.3 peratus .
Pertumbuhan pinjaman domestik Kumpulan Public Bank terutamanya disumbang oleh aktiviti pemberian pinjaman utama dalam segmen perbankan runcit, iaitu pembiayaan hartanah kediaman, pembiayaan sewa beli dan pembiayaan hartanah komersial, yang meningkat pada kadar tahunan masing-masing sebanyak 5.3 peratus, 13.4 peratus dan 6.0.
Segmen utama ini terus menerajui bahagian pasaran yang kukuh masing-masing sebanyak 20.1 peratus, 32.9peratusdan 32.0 peratus.
Jumlah deposit bagi setengah tahun pertama 2025 meningkat pada kadar tahunan sebanyak 3.5 peratus, terutamanya disumbang oleh deposit domestik yang meningkat pada kadar tahunan sebanyak 4.1 peratus.
Pendapatan Bukan Faedah dan Bukan Pembiayaan Bagi enam bulan pertama tahun 2025, Kumpulan Public Bank mencatatkan pertumbuhan dua digit dalam pendapatan bukan faedah dan bukan pembiayaan sebanyak 17.5 peratus kepada RM1.61 bilion, berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2024.
Prestasi pertumbuhan yang teguh ini terutamanya disokong oleh peningkatan prestasi dalam pendapatan pelaburan, perniagaan pertukaran asing serta pendapatan fi dan komisen.
Berikutan pengambilalihan sebanyak 44.15% saham LPI, perniagaan insurans am itu menyumbang RM146.1 juta kepada pendapatan Kumpulan Public Bank yang merupakan kira-kira sembilan peratus daripada pendapatan bukan faedah dan bukan pembiayaan keseluruhan Kumpulan.
Maju ke hadapan, Kumpulan akan terus memodalkan peluang strategik dengan memanfaatkan anggota agensi LPI serta pangkalan pelanggan Kumpulan yang meluas untuk penjualan silang produk dan perkhidmatan.
Public Mutual, syarikat unit amanah milik penuh Kumpulan Public Bank menghasilkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM403.4 juta bagi setengah tahun pertama 2025, yang merupakan 8.7 peratus daripada keuntungan sebelum cukai keseluruhan Kumpulan.
Prestasi ini disokong oleh kedudukan Kumpulan sebagai peneraju pasaran, dengan bahagian pasaran runcit sebanyak 33.7 peratus dan nilai aset bersih sebanyak RM100.6 bilion bagi 185 dana unit amanah pada akhir bulan Jun 2025.
Kedudukan Modal dan Mudah Tunai
Kumpulan Public Bank terus mempertahankan kedudukan modal yang baik, dengan nisbah modal Ekuiti Biasa Kumpulan 1, nisbah modal Kumpulan 1 dan jumlah nisbah modal masing-masing berada pada 14.0 peratus dan 16.8 peratus
Francais deposit Kumpulan Public Bank yang kukuh terus menyokong kedudukan mudah tunai yang baik, seperti yang ditunjukkan melalui nisbah pinjaman kepada dana dan ekuiti kasar sebanyak 84.1% pada akhir bulan Jun 2025. – UTUSAN










