KKIA perkenal Serah Bagasi Lauan Diri 

KKIA perkenal Serah Bagasi Lauan Diri 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) melangkah ke hadapan dalam meningkatkan pengalaman penumpang dan kecekapan operasi dengan kejayaan pelaksanaan unit Serah Bagasi Layan Diri (SSBD). 

Kini beroperasi di Daftar Masuk B, kaunter B9 hingga B12, perkhidmatan SSBD ini buat masa ini tersedia untuk penumpang Malaysia Airlines dan Firefly.

Pelaksanaan teknologi ini adalah sebahagian daripada inisiatif strategik Malaysia Airports untuk memacu transformasi digital di seluruh rangkaian lapangan terbangnya. 

Sistem SSBD direka untuk mengoptimumkan aliran penumpang, mengurangkan masa beratur dan menawarkan proses daftar masuk yang lebih autonomi serta cekap. 

Secara purata, sebuah bagasi boleh diproses dalam masa kurang 30 saat, dengan sedikit atau tiada barisan walaupun pada waktu puncak, sekali gus mempercepatkan proses daftar masuk secara keseluruhan. 

Sistem baharu ini meningkatkan pengalaman pengguna dan daya tahan operasi.

Ia dilaksanakan selepas fasa ujian sistem yang menyeluruh dan latihan petugas barisan hadapan bagi memastikan peralihan yang lancar dan kualiti perkhidmatan yang konsisten.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, matlamat syarikat adalah untuk memperkukuh masa depan lapangan terbang kami dan mengangkat kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan bertaraf global. 

“Teknologi pintar yang berfokuskan penumpang akan memberi lebih kawalan, kemudahan dan keyakinan kepada para pengembara. Ini adalah langkah penting dalam membentuk ekosistem lapangan terbang yang tangkas, berhubung dan dipacu inovasi,” katanya dalam kenyataan.

Selain di KKIA, SSBD turut tersedia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN).

Seiring dengan perkembangan sektor perjalanan udara, Malaysia Airports kekal komited untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan melalui inovasi praktikal yang mengutamakan kemudahan penumpang, kecekapan operasi dan kesiapsiagaan digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN