Kerangka Ekonomi Madani fokus pembangunan sosial ekonomi

Kerangka Ekonomi Madani fokus pembangunan sosial ekonomi bermaruah, adil

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerangka Ekonomi Madani memberi fokus lebih daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan fiskal, tetapi juga dalam membentuk pembangunan sosial ekonomi dengan menekankan maruah, keadilan dan kemakmuran bersama. 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Kerangka Ekonomi Madani juga menandakan peralihan ke arah pembaharuan struktur seperti menambah baik hasil pasaran buruh, meningkatkan pendapatan isi rumah, memajukan kemampanan fiskal dan meningkatkan penyampaian kerajaan.

Katanya, ia adalah satu strategi untuk meningkatkan tahap, memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai akses kepada taraf hidup yang bermaruah, termasuk gaji yang layak, perlindungan sosial dan perkhidmatan awam yang berkualiti.

“Pada masa yang sama, tumpuan juga untuk menaikkan siling, mengukuhkan daya saing negara, menarik pelaburan berkualiti tinggi, memacu inovasi dan membolehkan perniagaan Malaysia berkembang merentas rantaian nilai serantau dan global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Hasanah 2025 bertemakan ‘Philanthropy That Listens, Bridging Intent With Interventions’ di sini, semalam.

Amir Hamzah berkata, rangka kerja itu memerlukan semua sektor termasuk kerajaan, industri swasta dan yang paling penting sektor filantropi serta masyarakat sivil bekerjasama secara erat.

“Filantropi memainkan peranan penting dalam menangani jurang yang tidak dapat dicapai oleh pasaran serta dalam memperkenalkan pendekatan baharu bagi meningkatkan kesejahteraan sosial.

Beliau berkata, Malaysia melalui Ekonomi Madani membayangkan sebuah negara di mana tiada rakyat yang ketinggalan, perkhidmatan sosial sampai ke golongan terpinggir dan alam sekitar dipelihara untuk generasi akan datang.

“Filantropi yang mendengar adalah kunci untuk mencapai visi ini dengan lebih cepat dan mampan,” katanya sambil menekankan kepentingan Yayasan Hasanah sebagai penggerak utama agenda berkenaan.

Sebagai yayasan amanah Khazanah, Yayasan Hasanah telah menyalurkan ratusan juta ringgit untuk program pendidikan, kelestarian alam sekitar, pembangunan komuniti, seni, budaya serta kesejahteraan masyarakat sejak ditubuhkan pada 2015.

Antara inisiatifnya termasuk Program Pendidikan Komuniti di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, projek pemulihan hutan di Perak, serta bantuan kemanusiaan pasca bencana melalui kerjasama dengan rangkaian korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN