PETALING JAYA: Bermula dari dapur rumah, jenama KASURYSH kini melangkah lebih jauh dengan produk makanan sedia dimakan yang bukan sahaja digemari pelanggan tempatan, malah berpotensi menembusi pasaran luar negara berbekalkan sijil halal yang diiktiraf Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM).
Pengasas dan Pengurus Besar KASURYSH, Suryane Saidin atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Sury berkata, minatnya dalam bidang makanan telah lama berputik sebelum mengorak langkah secara rasmi pada tahun 2023.
“Produk utama kami ialah Dendeng Daging Sury dan Sambal Bilis Kak Sury yang diformulakan menggunakan teknik retort supaya tahan lama tanpa bahan pengawet.
“Tiga variasi sambal bilis kami telah mendapat pengiktirafan halal daripada JAKIM iaitu Sambal Bilis, Sambal Bilis Petai dan Sambal Bilis Petai Tempoyak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Produk KASURYSH kini boleh didapati melalui pelbagai platform e-dagang seperti TikTok Shop, Shopee, Lazada, Mymall Desamall, Halal Street UK serta di laman web rasmi www.kaksury.my selain dijual di kedai runcit sekitar Nilai dan Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Kak Sury berkata, usaha mendapatkan sijil halal bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan dokumentasi lengkap serta pematuhan ketat terhadap piawaian ditetapkan JAKIM.
Menurut Kak Sury, bahawa sijil halal bukan sekadar logo pada bungkusan, sebaliknya jaminan kepada pengguna terutama umat Islam bahawa makanan yang dibeli adalah bersih, suci dan selamat.
“Kami menghasilkan semua produk di kilang OEM yang telah diiktiraf HALAL dan MESTI. Dari bahan mentah, pembungkusan, sehinggalah kepada rekod pengeluaran, semuanya perlu teratur. Saya juga menghadiri kursus halal untuk memahami dengan lebih mendalam sebelum memohon.
“Halal juga merupakan lambang integriti serta kepercayaan. Pengguna sekarang bijak menilai, mereka mencari produk yang ada nilai tambah, dan halal adalah salah satu daripadanya,” ujarnya.
Tambah Kak Sury, selepas memperoleh sijil halal, keyakinan pelanggan meningkat sekali gus membuka peluang perniagaan lebih luas termasuk kerjasama dengan agensi kerajaan dan platform e-dagang.
“Malah ia turut membantu memperkukuh jualan dan membuka jalan untuk KASURYSH menembusi pasaran antarabangsa,” tambahnya.
Mengulas mengenai cabaran, Kak Sury berkata, dokumentasi dan kos audit menjadi antara halangan utama bagi usahawan kecil.
“Justeru, KASURYSH memilih untuk bekerjasama dengan pengilang peralatan asal (OEM) bagi memastikan piawaian halal dapat dipatuhi secara konsisten.
“Bagi mengekalkan status halal, rekod mesti sentiasa dikemas kini, Tatacara Pengendalian Piawa (SOP) pengeluaran perlu dipatuhi dan kakitangan diberi latihan berkala,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan masa depan, Kak Sury optimis membawa produk KASURYSH ke luar negara, khususnya Brunei, Singapura dan Asia Barat.
“Dengan adanya sijil halal, ia menjadi tiket untuk melangkah lebih jauh. Impian saya adalah melihat produk KASURYSH mewakili Malaysia di pentas dunia.
“Apabila kita berniaga makanan, ia adalah rezeki yang masuk ke tubuh pelanggan. Saya tidak mahu hanya sekadar mencari keuntungan, tetapi mahu perniagaan ini membawa keberkatan,” katanya.-UTUSAN