PETALING JAYA: Penyedia penyelesaian teknologi berpusat di Sarawak, Insights Analytics Berhad (IAB) menyasarkan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad menjelang Oktober ini.
Bagi tujuan itu, syarikat telah memeterai perjanjian taja jamin bersama M & A Securities Sdn. Bhd. selaku penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO).
IPO tersebut merangkumi terbitan awam sebanyak 121 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan 27.5 juta saham sedia ada, masing-masing mewakili 22 peratus dan lima peratus daripada modal saham IAB Group yang diperbesarkan sebanyak 550 juta saham selepas penyenaraian.
IAB terlibat terutamanya dalam penyediaan penyelesaian teknologi air bagi pengurusan air di seluruh rantaian bekalan utiliti air, daripada rawatan sehingga pengagihan, khususnya di Sarawak.
Setakat 1 Januari 2025, syarikat itu merekodkan buku pesanan belum dibil berjumlah RM36.1 juta yang akan diiktiraf secara progresif dalam tempoh dua tahun kewangan akan datang.
Pengarah Urusan IAB, Frank Wee berkata, IPO berkenaan akan membolehkan syarikat mengakses pasaran modal ekuiti untuk memperkukuh keupayaan teknologi, mengembangkan perniagaan serta menyokong modal kerja bagi projek semasa dan akan datang.
“Dengan 20 tahun kepakaran terbukti dalam sektor teknologi air di Sarawak, IAB Group berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan agenda Transformasi Sektor Air Sarawak 2040 (WST 2040) serta dorongan nasional ke arah pembangunan infrastruktur bandar pintar.
“Syarikat juga bersedia memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam sektor pengurusan air pintar dan pembangunan bandar pintar, seiring pelaksanaan WST 2040 yang menekankan penerapan teknologi Industri 4.0 termasuk analitik data, kecerdasan buatan (AI), SCADA dan GIS.
“Bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2024, IAB mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM6.9 juta dengan hasil berjumlah RM32 juta, bersamaan margin keuntungan kasar 40 peratus dan margin keuntungan bersih 21.6 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Pemegang saham utama IAB terdiri daripada Frank Wee, Bong Joon Fook yang juga Pengarah Eksekutif serta Charlene Bong Myn Ee selaku Ketua Pegawai Operasi. – UTUSAN