I-Berhad catat untung sebelum cukai RM14.26 juta

I-Berhad catat untung sebelum cukai RM14.26 juta bagi suku kedua 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: I-Berhad, pemaju i-City mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM14.26 juta bagi  suku kedua tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2025, didorong prestasi kukuh dalam segmen perniagaan teras meliputi rekreasi dan hospitaliti, pembangunan hartanah serta pelaburan hartanah.

Menurut kenyataan,  kumpulan merekodkan hasil RM62.30 juta pada suku sama dan secara kumulatif bagi separuh pertama tahun kewangan 2025, hasil mencecah RM124.35 juta manakala PBT berjumlah RM26.62 juta.

“Segmen pendapatan berulang yang merangkumi pelaburan hartanah dan tekreasi dan hospitaliti menyumbang 67 peratus daripada jumlah PBT separuh pertama 2025, menonjolkan peralihan strategik kumpulan ke arah pendapatan stabil berasaskan aset. 

“Bagi segmen rekreasi dan hospitaliti kekal sebagai penyumbang hasil terbesar untuk dua suku berturut-turut dengan hasil RM28.60 juta dan PBT RM4.77 juta, meningkat 61 peratus berbanding suku sebelumnya. 

“Peningkatan itu dipacu kejayaan tarikan baharu WynSnow di Wyndham Suites KLCC serta prestasi kukuh hotel DoubleTree by Hilton i-City dan Wyndham Garden i-City, disokong kehadiran pengunjung sempena Aidilfitri dan cuti sekolah,” katanya. 

Selain itu, segmen pembangunan hartanah pula mencatatkan hasil RM26.64 juta dengan PBT RM5.66 juta, disokong jualan stabil dan kemajuan pembinaan BeCentral Residences Menara 1 dan 2. 

“Sehingga 30 Jun 2025, jualan belum dibil berjumlah RM90.36 juta, sekali gus memberikan prospek pendapatan positif.

“Sementara itu, segmen pelaburan hartanah merekodkan hasil RM6.45 juta dan PBT RM4.79 juta, didorong kadar penghunian tinggi serta pengoptimuman hasil di Mercu Maybank dan Central i-City Mall, selain peningkatan hasil tempat letak kereta dan strategi penyewa yang diperluas,” ujarnya. 

Pengerusi Eksekutif I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, keputusan itu mencerminkan disiplin berterusan kumpulan dalam membina asas pendapatan berulang yang kukuh sambil melaksanakan pelan jangka panjang menjadikan i-City sebagai destinasi gaya hidup pintar utama di Malaysia.

“Setiap segmen memberikan hasil seperti yang dihasratkan, sama ada melalui kestabilan, pertumbuhan atau inovasi dan pendekatan seimbang ini memberi keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan dinamik pasaran yang sentiasa berubah,” katanya.

I-Berhad turut memulakan program kecerdasan buatan (AI) dan automasi pintar bernilai RM10 juta yang kini dilaksanakan di seluruh aset penjana pendapatan syarikat. 

Inisiatif itu, melalui integrasi dengan i-City SuperApp dan kerjasama teknologi global, membolehkan penyelenggaraan ramalan, pengoptimuman tenaga dan aliran pengunjung serta peningkatan pengalaman penyewa dan pelanggan.

Bagi mempercepatkan visi menjadikan i-City sebagai hab AI dan robotik, I-Berhad menjalin kerjasama dengan Agibot, peneraju inovasi robotik di China yang disokong Tencent, LG dan JD.com. 

Perikatan strategik itu memposisikan kumpulan sebagai entiti generasi baharu di persimpangan hartanah, AI dan robotik, selain membina pemacu pertumbuhan baharu untuk nilai jangka panjang pemegang saham.

Tambahnya, strategi AI dan robotik ini bukan sekadar meningkatkan apa yang kami ada, sebaliknya mencipta apa yang seterusnya. 

“Melalui sistem AI terkandung dan kerjasama strategik, I-Berhad membuka laluan pertumbuhan baharu serta berada di barisan hadapan industri yang sedang dibentuk semula oleh automasi pintar,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×