PETALING JAYA: Harga emas di pasaran Malaysia berada dalam lingkungan RM458 segram bagi emas tulen 24 karat (999), selepas mencatatkan sedikit kenaikan berbanding RM456.52 sebelumnya.
Presiden Pertubuhan Emas Malaysia (MGA), Dato Seri Louis Ng berkata, harga emas berpotensi untuk kembali mengukuh menjelang hujung tahun, didorong oleh beberapa faktor global yang kukuh termasuk permintaan agresif daripada bank-bank pusat, ketidaktentuan geopolitik, serta jangkaan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).
“Unjuran optimistik harga emas boleh mencecah antara AS$3,200 hingga AS$3,700per auns, iaitu sekitar RM460 hingga RM560 segram mengikut kadar pertukaran semasa antara RM4.42 hingga RM4.70 bagi setiap dolar AS,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Ng berkata, antara faktor yang mendorong kekuatan pasaran emas iaitu permintaan daripada bank-bank pusat dunia mencatatkan peningkatan ketara sepanjang dekad lalu.
“Menurut data terkini, pembelian emas oleh bank pusat telah melonjak daripada hanya 1.8 peratus pada 2010 kepada 21 peratus pada 2024.
“Negara seperti China terus memperkukuh rizab emas mereka sebagai langkah strategik mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS dan menstabilkan mata wang.
“Permintaan institusi besar ini menyediakan asas yang stabil kepada harga emas global dan mengurangkan risiko penyusutan harga yang mendadak,” katanya.
Selain itu, Ng berkata, konflik berpanjangan seperti perang Rusia-Ukraine, ketegangan di Timur Tengah antara Iran dan Israel, serta ketidakpastian hubungan perdagangan antara kuasa besar dunia menyumbang kepada suasana pasaran yang tidak menentu.
Dalam keadaan ini, pelabur global cenderung menukar aset berisiko tinggi kepada pelaburan selamat seperti emas, yang terbukti menjadi pelindung nilai ketika krisis.
Ng memaklumkan, nilai dolar AS yang lemah menjadikan emas lebih murah kepada pembeli antarabangsa, sekaligus mendorong permintaan.
Selain itu, jangkaan bahawa Fed akan melaksanakan pemotongan kadar faedah menjelang hujung tahun ini menambah lagi daya tarikan logam berharga ini.
“Kadar faedah yang rendah mengurangkan pulangan alternatif daripada aset seperti bon, dan menjadikan emas lebih kompetitif sebagai instrumen pelaburan,” katanya.
Beliau juga memaklumkan, walaupun sokongan terhadap emas kekal kukuh, faktor risiko tertentu boleh mencetuskan penurunan harga dalam jangka pendek.
“Misalnya, kemajuan damai dalam konflik Rusia-Ukraine atau gencatan senjata sementara antara Iran dan Israel boleh menurunkan permintaan terhadap emas sebagai aset perlindungan, sekali gus menekan harga.
“Namun begitu, risiko-risiko ini bersifat sementara. Ketidaktentuan jangka panjang masih tinggi, justeru pelabur dijangka terus mengekalkan minat terhadap emas sebagai lindung nilai utama,” katanya.-UTUSAN