Gold Buroq Global optimis peroleh sijil halal 

Gold Buroq Global optimis peroleh sijil halal 

ANTARA sambal sedia dimakan di bawah jenama Cik Midah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gold Buroq Global, pengeluar sambal sedia dimakan dan pes masakan di bawah jenama Cik Midah, optimis proses mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan membuka laluan lebih luas untuk mengembangkan pasaran ke peringkat antarabangsa.

Syarikat yang diasaskan pada 2017 itu kini dalam peringkat akhir melengkapkan dokumentasi dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan, termasuk memastikan semua pembekal bahan mentah memiliki sijil halal yang sah.

Pengurus Gold Buroq Global, Zanariah Abdullah berkata, walaupun belum memperoleh sijil halal, pihaknya telah mengamalkan piawaian halal dalam setiap proses pengeluaran sejak awal penubuhan.

“Bagi saya, sijil halal bukan sekadar dokumen, tetapi simbol kepercayaan. Ia memberi keyakinan kepada pengguna Muslim bahawa produk kami bukan sahaja bersih, tetapi juga patuh syariah.

“Dalam dunia perniagaan hari ini, kepercayaan pelanggan adalah mata wang utama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, pensijilan halal akan menjadi kelebihan kompetitif kerana ia membuka peluang lebih besar untuk menembusi pasar raya utama, platform e-dagang dan pasaran luar negara.

“Kami mahu memperluas capaian ke lebih banyak negara selepas kejayaan menembusi Singapura, Brunei dan London melalui ejen. Sijil halal akan memudahkan kemasukan produk kami ke pasaran tersebut, termasuk negara-negara Islam,” ujarnya.

Mengulas cabaran mendapatkan sijil halal, Zanariah berkata ia melibatkan rekod dokumentasi yang teratur, audit berkala, kawalan kebersihan persekitaran, serta pematuhan manual halal yang ketat.

“Pegawai Jakim juga boleh hadir membuat pemeriksaan mengejut, jadi kami perlu sentiasa bersedia.

“Setiap bahan dan pembekal mesti ada sijil halal. Ini memerlukan komitmen tinggi dan disiplin dari seluruh pasukan,” jelasnya.

Jenama Cik Midah yang diinspirasikan daripada nama arwah ibunya, Mazidah, terkenal dengan sambal berasaskan resipi keluarga yang diwarisi sejak kecil. 

Idea perniagaan ini tercetus selepas Zanariah menyedari potensi sambal sebagai bekalan mudah dibawa ketika melancong, selain memenuhi keperluan ibu-ibu yang ingin memasak dengan cepat.

“Sijil halal adalah tanggungjawab dan nilai yang mencerminkan identiti jenama kami. Ia bukan pilihan, tetapi keperluan untuk memastikan integriti, kebersihan dan kualiti produk sentiasa terjamin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN