FGV gantung dagangan di Bursa Malaysia 25 Ogos ini

FGV gantung dagangan di Bursa Malaysia 25 Ogos ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: FGV Holdings Bhd akan menggantung dagangan sekuriti di Bursa Malaysia bermula jam 9 pagi, 25 Ogos ini, selaras dengan Perenggan 16.02(3) Kehendak Penyenaraian Pasaran Utama.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, FGV menjelaskan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bersama pihak-pihak yang bertindak untuk matlamat sama (PAC) kini memegang lebih 90 peratus saham FGV. 

Katanya, Felda juga tidak berhasrat mengekalkan status penyenaraian syarikat itu di Pasaran Utama Bursa Securities.

FGV memaklumkan Felda akan memperoleh syarikat itu bagi melaksanakan semua langkah yang diperlukan untuk mengeluarkan status penyenaraiannya daripada Senarai Rasmi, mengikut Perenggan 16.07 Kehendak Penyenaraian.

Menurut laporan sebelum ini, Felda bersama PAC telah berjaya menguasai 94.97 peratus daripada jumlah saham terbitan FGV, melibatkan 3.46 bilion saham. 

Kejayaan itu membuka laluan kepada penyahsenaraian rasmi syarikat perladangan tersebut daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia.

FGV yang mula disenaraikan pada 2012 pada harga RM4.55 sesaham berjaya meraih RM10.5 bilion dalam satu daripada tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di Malaysia. Bagaimanapun, sejak itu, harga sahamnya merosot dengan ketara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN