Ekonomi Malaysia dipengaruhi rundingan tarif perdagangan AS

 Ekonomi Malaysia dipengaruhi rundingan tarif perdagangan AS

SHAIK Abdul Rasheed Abdul Ghaffour ketika membuat pembentangan pada sidang akhbar Prestasi Ekonomi Suku Kedua Tahun 2025 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur di sini hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan Malaysia pada 2025 dijangka akan dipengaruhi oleh keputusan tarif daripada rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS), sama seperti negara lain.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, BNM menjangkakan perkembangan tarif perdagangan akan mempengaruhi  prospek global dan dalam negeri untuk baki tahun ini.

“Persekitaran luaran kekal mencabar. Ketidakpastian berkaitan tarif terus wujud dan kesannya akan mengambil masa sebelum benar-benar dirasai. Meskipun begitu, Malaysia menghadapi kesemua cabaran ini dari kedudukan yang kukuh. 

“Ekonomi negara kekal berada pada landasan yang utuh, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, permintaan berterusan untuk barangan elektrik dan elektronik (E&E) dan struktur eksport yang pelbagai. 

“Kesemua asas ini, bersama- sama dengan pembaharuan struktur yang berterusan, memastikan Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk menghadapi landskap global yang sentiasa berubah-ubah,” katanya ketika sidang media Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia Suku Kedua 2025 bersama Bank Negara Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkata, walaupun terdapat risiko luaran, pertumbuhan ekonomi disokong teguh oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, yang berfungsi sebagai penampan terhadap rintangan global. 

Beliau berkata, pertumbuhan guna tenaga dan upah dalam sektor berorientasikan dalam negeri serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah. 

Pengembangan aktiviti pelaburan katanya akan berterusan disebabkan oleh beberapa faktor termasuk kemajuan projek infrastruktur, pelaksanaan berterusan pelaburan swasta yang diluluskan dan pelaksanaan pelan induk nasional. 

“Prospek eksport Malaysia boleh dipertingkatkan oleh keputusan yang memberangsangkan daripada rundingan perdagangan yang masih berlangsung, dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju serta aktiviti pelancongan yang giat. 

“Pelaksanaan berterusan pembaharuan struktur, seperti pelan induk nasional dan langkah-langkah pembaharuan fiskal, adalah sangat penting bagi meningkatkan daya tahan negara terhadap kejutan masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN