PETALING JAYA: CIMB Bank Berhad (CIMB) memperkasa bakat Malaysia dalam bidang budaya dan seni menerusi gerakan sosial, Kita Bagi Jadi, selari dengan matlamat memperkasakan pelanggan dan masyarakat.
Bersempena sambutan kemerdekaan ke-68, CIMB menjalin kerjasama dengan penyanyi rap terkenal, Aman RA untuk menerbitkan muzik video baharu Bangun, Kita Bagi Jadi.
Ketua Pegawai Jenama dan Pemasaran Kumpulan CIMB Group, Toni Darusman berkata, Kita Bagi Jadi merupakan ekspresi kreatif matlamat bank berkenaan.
“Pada fasa pertama, kempen itu turut menampilkan jaguh sukan negara seperti S. Sivasangari, Datuk Azizulhasni dan Amer Harris dalam usaha menyokong perjalanan mereka mengejar impian.
“Muzik dan sukan telah lama menjadi ejen perpaduan. Melalui Bangun, Kita Bagi Jadi, CIMB berharap ia memberi peringatan kepada semua mengenai semangat ‘Kita Bagi Jadi’,” katanya dalam kenyataan.
Lagu itu merupakan pembikinan semula karya asal Aman RA yang meraikan semangat ketahanan rakyat Malaysia, disampaikan bersama Olimpian, Datuk Azizulhasni Awang.
Muzik video berkenaan mengetengahkan kisah inspirasi rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk usahawan, artis muda dan pelajar yang berjaya mengatasi cabaran hidup, selain menerima manfaat daripada pelbagai program dan produk CIMB.
Sementara itu, CIMB turut meneruskan platform budaya dan seni, CIMB Artober yang kini berkembang sebagai platform perniagaan berdaya saing dalam landskap seni tempatan.
Sehingga kini, lebih RM20 juta hasil jualan berjaya dijana memanfaatkan lebih 100 artis.
Acara tahun itu turut diiktiraf sebagai program rasmi Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN 2025, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pertukaran budaya dan kreatif rantau ini.
Sehubungan itu, CIMB Artober bakal berlangsung dari 26 hingga 28 September 2025 dengan penyertaan lebih 20 galeri dari Malaysia dan serantau, serta menampilkan lebih 100 artis.
Antara tarikan utama ialah pameran eksklusif karya belum pernah dipamerkan umum oleh seniman tersohor, Allahyarham Datuk Ibrahim Hussein.
Dalam pada itu, pendekatan holistik melalui Kita Bagi Jadi turut disokong dengan empat teras utama iaitu komuniti, produk dan penyelesaian mesra pelanggan, kerjasama jenama serta budaya dan seni.
Di bawah inisiatif Komuniti, CIMB melancarkan komitmen bernilai RM200 juta bagi tempoh lima tahun (2026 hingga 2030) untuk membantu komuniti kurang mendapat sokongan, selain memupuk pertumbuhan inklusif.
Bank itu berhasrat menjadi barisan hadapan dalam membantu rakyat Malaysia merealisasikan potensi mereka, mengukuhkan kesejahteraan hidup serta menyumbang ke arah masyarakat lebih mampan dan berdaya tahan. – UTUSAN