Cecair pencuci, pelembut fabrik Biofitrah dijamin halal

Cecair pencuci, pelembut fabrik Biofitrah dijamin halal

AMAN RASYIDI MOHD NOOR (tengah) semasa menandatangani memorandum persefahaman mengenai program CSR bersama Muslim Care dan Adina Charity Circle.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat tempatan, Biofitrah (M) Sdn. Bhd. berjaya melonjak daripada status perusahaan mikro kepada entiti pembuatan berstruktur dalam industri penghasilan cecair pencuci dan cecair pelembut.

Ditubuhkan pada 30 Jun 2020, Biofitrah yang dikenali dalam industri dobi komersil layan diri dan produk pencuci pakaian isi rumah berjaya mengembangkan keupayaan operasi pengeluaran syarikat daripada 100 unit produk sehari kepada 1,500 kuantiti. 

Transformasi syarikat itu merupakan antara kejayaan terkini hasil sokongan menyeluruh Majlis Amanah Rakyat (Mara) melalui Geran Program Pembangunan Usahawan Teknikal (Putek). 

Ketua Pegawai Operasi, Biofitrah (M) Sdn. Bhd.‚ Aman Rasyidi Mohd. Noor berkata, pihaknya bukan sekadar menerima bantuan modal menerusi program strategik itu, tetapi merangkumi aspek latihan, pemantauan dan bimbingan untuk melonjak ke tahap lebih kompetitif.

 “Kita berjaya menghasilkan pengeluaran produk melalui sistem pembungkusan automatik yang dapat meningkatkan kecekapan dan kapasiti pengeluaran produk bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.

 “Sejak pelaksanaan mesin automatik ini, kami menerima kunjungan pengimport dari Eropah yang menyatakan minat membawa produk kami, PowerRein dan SoftRein ke pasaran benua itu,” katanya ketika majlis perasmian kilang kedua di Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran pelakon, Putra Amaris sebagai duta produk Biofitrah, yang secara konsisten menyokong usaha penjenamaan syarikat sejak awal penubuhannya.

Walaupun belum berjaya menembusi pasaran di pasar raya besar, Aman Rasyidi berkata, pihaknya berusaha memfokuskan jualan menerusi platform media sosial di TikTok dan Shopee.

“Sekarang, kami dalam proses memuktamadkan perjanjian dagangan dengan pengedar untuk menembusi pasaran pasar raya.

 “Ketika ini, kami hanya menunggu untuk menandatangani perjanjian tersebut dan dijangka produk akan memasuki pasar raya pada Oktober ini,” katanya.

Beliau berkata, Biofitrah memperoleh pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 2024, bagi semua rangkaian produk runcit dan dobi sebagai satu penanda aras kesucian bahan mentah, proses pembuatan dan pembungkusan yang suci dan bersih.

 “Sebagai contoh, cecair pelembut biasanya menggunakan dua jenis bahan utama iaitu berasaskan lemak haiwan dan alkohol.

 “Bagi produk antarabangsa, mereka jarang menyatakan jenis bahan yang digunakan. Namun,  produk kami menggunakan lemak berasaskan sawit, manakala alkohol yang digunakan adalah daripada sumber sintetik.

 “Alkohol dalam produk ini berfungsi untuk melarutkan sesetengah bahan supaya ia dapat menyerap ke dalam air dengan baik. Tujuannya adalah untuk mengelakkan pemisahan lapisan, seperti yang kadangkala kita lihat pada sabun apabila air berada di bahagian atas dan warna berbeza di bahagian bawah,” katanya.

Tambah beliau, Biofitrah kini sedang menunggu keputusan ujian produk di makmal SGS Hamburg, Jerman, bagi penilaian keberkesanan sabun mengikut piawaian A.I.S.E Mach5 serta ujian kelembutan mengikut standard EU Ecolabel.

Ujian tersebut bakal menjadi bukti kualiti produk tempatan mampu menyaingi jenama antarabangsa.

SGS adalah syarikat terkemuka dan diiktiraf sebagai peneraju dalam aspek ujian, pemeriksaan dan pensijilan produk yang beroperasi di lebih 115 negara.

Biofitrah turut melaksanakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk jalinan kerjasama dengan Muslim Care dan Adina Charity Circle, pertubuhan yang membantu kanak-kanak kanser. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN