Bursa Malaysia dijangka berada pada paras 1,570 minggu ini

Bursa dijangka berada pada paras 1,570 minggu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka mengalami penurunan dalam masa terdekat, dengan indeks utama akan susut ke paras sekitar 1,570 mata.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, kenaikan yang berlaku baru-baru ini disifatkan sebagai sementara dan tidak disokong oleh faktor asas yang kukuh.

“Saya menjangkakan pasaran akan turun kepada sekitar 1,570 kerana sehingga kini, masih tiada polisi kerajaan yang benar-benar memberi impak dan boleh menaikkan bursa. 

“Kenaikan baru-baru ini lebih kepada sentimen jangka pendek dan bukan disebabkan oleh petunjuk ekonomi yang kukuh,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Beliau turut menjelaskan aktiviti pengambilan untung oleh pelabur jangka pendek menjadi antara punca utama penyusutan yang dijangka berlaku.

“Ramai pelabur mengambil kesempatan untuk mengambil untung selepas kenaikan ringkas itu. 

“Selain itu, tiada petunjuk baharu yang signifikan untuk menyokong momentum kenaikan selanjutnya,” tambahnya. 

Mohd. Rizal turut menjangkakan keadaan tidak menentu akan berterusan dalam tempoh beberapa minggu akan datang, selagi tiada perkembangan ekonomi yang mampu mencetuskan sentimen belian baharu di pasaran.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, meskipun banyak pengumuman positif daripada syarikat tersenarai termasuk pembayaran dividen yang baik, ia masih gagal menarik minat pelabur untuk lebih aktif di pasaran.

“Bursa masih dibayangi oleh kebimbangan kelembapan ekonomi global berikutan dasar perdagangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Pelabur mengambil pendekatan berhati-hati dan memilih untuk tunggu dan lihat,” jelasnya.

Menurut beliau, ramai pelabur mahu menilai terlebih dahulu kesan penuh daripada pelaksanaan tarif baharu oleh Amerika Syarikat sebelum membuat keputusan besar.

“Pasaran kini masih berada dalam fasa menyesuaikan diri. Faktor global jelas lebih dominan dalam menentukan hala tuju Bursa Malaysia berbanding perkembangan positif domestik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN