Biscochiz bangkit dari kecaman, kini sasar 10 cawangan

Biscochiz bangkit dari kecaman, kini sasar 10 cawangan

WAN Nurasyikin Wan Mustaffa Kamel ketika ditemui di kafenya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, UPM baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIKECAM kerana pembungkusan yang dianggap tidak menarik ketika mula menjual dari dapur rumah sewaktu pandemik Covid-19, tidak menjadi halangan kepada pasangan suami isteri untuk terus berkembang.

Wan Nurasyikin Wan Mustaffa Kamel, 31, dan Ahmad Shahir Ismail, 41, kini mengemudi Biscochiz Group Sdn. Bhd., sebuah jenama pencuci mulut berasaskan keju yang semakin mendapat tempat dalam pasaran tempatan.

“Kebanyakan pencuci mulut yang kami cuba sebelum ini terlalu manis. Suami saya memang kurang gemar makanan manis, jadi saya mula bereksperimen di dapur untuk cipta resipi yang lebih seimbang.

“Jenama Biscochiz, gabungan perkataan ‘biscuit’ dan ‘cheese’ dilancarkan secara rasmi pada 28 Februari 2020, hanya beberapa minggu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama.

“Bermula dengan jualan dalam talian dan promosi di media sosial, saya tidak menyangka permintaan meningkat mendadak hingga 10 kali ganda dalam bulan kedua operasi, mendorong kami menubuhkan dapur pusat dan memulakan eksport ke Singapura.

“Setiap hari kami proses pesanan dari rumah, kadang-kadang sampai lewat malam. Bila jualan semakin stabil, kami sewa dapur komersial dan bina sistem logistik sendiri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Namun, kejayaan itu turut datang bersama cabaran selain kekangan logistik untuk produk sejuk beku, mereka turut menghadapi kecaman dan ejekan ketika mula-mula menyuarakan impian membina jenama pencuci mulut bertaraf antarabangsa.

“Ada yang ketawakan kami secara terbuka dalam siaran langsung media sosial. Katanya kami angan-angan nak bawa produk ‘frozen dessert’ ke pasaran global. Tapi kami ambil itu sebagai pembakar semangat,” ujarnya. 

“Walau bagaimanapun, semangat itu akhirnya membuahkan hasil apabila Biscochiz dianugerahkan Asia Pacific Top Excellence Brand Award 2021-2022 dalam kategori Emerging Enterprise dan mula dikenali sebagai produk artisan yang mengangkat konsep pencuci mulut berasaskan keju tempatan.

“Namun selepas pandemik reda, jualan dalam talian kami menjunam sehingga 90 peratus apabila pengguna kembali memilih pembelian fizikal berbanding atas talian.

“Kami akui infrastruktur e-dagang belum cukup sesuai untuk produk sejuk beku seperti kami. Jadi kami mula menyertai lebih 200 acara ‘pop-up’ dan ‘booth’ untuk terus hidup dalam pasaran,” ujarnya. 

Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya membuka cawangan kafe pertama di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2023, hasil kolaborasi bersama pihak universiti.

“Kolaborasi itu turut membuka peluang kepada pelajar UPM untuk menyertai program pekerjaan sambilan dan menerima sijil pengalaman dalam bidang F&B, satu inisiatif yang dilihat bermanfaat kepada kedua-dua pihak.

“Hari ini, Biscochiz menawarkan lebih 30 jenis menu, termasuk ice cream cheese, Belgian waffle, frappé keju, croffle, croger (croissant + burger) dan lain-lain yang semuanya dikekalkan dengan konsep rendah gula, tanpa kompromi terhadap rasa.

“Kami berpegang pada prinsip jujur dalam rasa. Makanan kami tidak manis berlebihan, tapi tetap kaya rasa, dan itu yang buat pe­langgan datang semula,” jelasnya. 

Bagi memenuhi keperluan pelanggan di lokasi berbeza, Bis­cochiz kini dalam proses memba­ngunkan kiosk bergerak menggunakan konsep caravan mini yang boleh digunakan sebagai gerai jualan di acara, lokasi universiti atau kawasan strategik.

“Caravan ini akan jadi versi ‘outdoor’ untuk jenama kami. Ia fleksibel, menarik, dan boleh bawa produk ke mana-mana. 

“Selain itu, Biscochiz turut menjalani proses bimbingan bersama Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) untuk membangunkan model perniagaan francais.

“Dalam tempoh dua tahun akan datang, kami merancang untuk melengkapkan dokumentasi, prosedur operasi standard (SOP) dan sistem sokongan francais sebagai persediaan membuka lebih banyak cawangan di seluruh negara.

“Setakat ini, purata jualan bulanan mereka mencecah antara RM7,000 hingga RM10,000 bagi setiap lokasi dan kami menyasarkan untuk membuka dua lagi cawangan menjelang hujung tahun ini.

“Visi kami lebih besar untuk memiliki sekurang-kurangnya 10 cawangan tetap dalam tempoh lima tahun dan membawa produk ke pasaran luar negara secara agresif.

“Kami bukan sekadar jual dessert. Kami mahu cipta pengalaman, bangunkan empayar makanan keju dari Malaysia dan bawa jenama ini ke pentas antarabangsa,” ujarnya.

Ditanya pesanan kepada usahawan muda, Wan Nurasyikin mengingatkan bahawa perniagaan bukan jalan pintas untuk kaya, sebaliknya satu proses penuh kesabaran dan keikhlasan.

“Jangan tertipu dengan apa yang tular. Kita kena hadap realiti, cabaran memang banyak. Tapi kalau kita jujur dengan produk, konsisten dan yakin rezeki itu datang dari tuhan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN